Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit

Oleh: Dr. Khairulnizam Mat Karim

KERAP kali kita mendengar keluhan masyarakat sama ada jemaah setempat mahupun jemaah musafir berkaitan isu-isu asas institusi masjid. Antara yang kerap diperkatakan oleh masyarakat adalah tandas kotor/ tidak diselenggara dengan baik, pintu tandas rosak, ruang solat/ karpet berpasir dan berbau, kipas berhabuk, siling bersawang, kain sarung dan telekung berbau hapak, persekitaran tidak diurus dengan baik termasuk pengurusan sampah, masjid tidak cakna hal-hal kebajikan jemaah sekitar, persoalan pengurusan kewangan dan banyak lagi.

Tidak kurang juga kajian-kajian berkaitan institusi masjid yang turut menyentuh perkara yang sama dengan beberapa isu-isu tambahan yang lebih memberi penekanan terhadap kualiti urus tadbir hala tuju institusi masjid, kualiti program mahupun aktiviti yang dianjurkan oleh institusi masjid dan kualiti atau kriteria pelantikan ahli jawatankuasa masjid. Ini tidak lagi menyentuh perkara yang tidak boleh dikompromi iaitu berkaitan  imam tidak hadir bertugas atau terlewat hadir ke masjid.

Walau bagimanapun penulis mengambil sikap cermat dalam membahas permasalahan ini. Ia kerana asas pengkategorian institusi masjid seperti masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah (bandar) dan masjid kariah (kampung), turut memberi kesan kepada aspek tenaga kerja mahupun perjawatan termasuk hal pendanaan masjid. Sebahagian instutusi masjid mempunyai pegawai atau imam bergaji sepenuh masa dan sebahagiannya hanya menerima elaun sahaja.

Selain itu terdapat institusi masjid yang mempunyai dana tetap daripada institusi agama negeri masing-masing di samping kutipan derma. Manakala sebahagian besar masjid hanya bergantung kepada kutipan derma melalui tabung dan lain-lain platform. Di samping faktor ini terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi isu-isu yang dinyatakan di atas.

Diakui banyak faktor yang terlibat dalam hal ini, dan penulis lebih cenderung menekankan aspek kegagalan dan kurang keupayaan ahli jawatankuasa merangka satu pelan perancangan strategik institusi masjid sama ada jangka pendek, jangka sederhana mahupun jangka panjang. Tidak kurang juga aspek kegagalan ahli jawatankuasa dan pegawai memastikan setiap perancangan dilaksana dan dipantau dari semasa ke semasa.

Ini turut meliputi aspek kurang keupayaan dalam membangunkan visi dan misi institusi masjid berdasarkan realiti sebenar, keperluan institusi masjid, keperluan setempat dan persekitaran. Permasalahan ini  turut disebabkan oleh ketidakupayaan unit pengurusan masjid di pejabat agama daerah negeri membangunkan hal-hal dasar dan hala tuju pembangunan institusi masjid.

Di antaranya adalah dari aspek merangka dan melaksana dasar-hala tuju pengurusan masjid-masjid di bawah pentadbiran mereka, merangka perancangan, penyusunan keutamaan berdasarkan perbezaan realiti dan fokus sesebuah masjid termasuk isu pengawai unit pengurusan masjid kurang berpengalaman. Walaupun perkara yang dinyatakan ini adalah bukan perkara baharu, tetapi ia seakan tidak ada tindakan  dalam memastikan setiap institusi masjid dapat dibangunkan dengan lebih berstruktur dan mempunyai hala tuju jelas berdasarkan realiti dan keperluan semasa.

Di sebalik permasalahan, kegagalan serta faktor-faktor khusus yang dinyatakan di atas yang memperlahankan perkembangan dan pembangunan sesebuah institusi masjid, masih terdapat institusi masjid yang bergerak dan membangun dengan sangat baik walaupun terhimpit dengan hal kekurangan dana dan berhadapan dengan pelbagai kekangan lain.

Di antara contoh masjid yang boleh penulis kongsikan di sini adalah seperti Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit (MTAABS) di negeri Pahang, yang dikategorikan oleh pengurusan agama negeri sebagai Masjid Kariah. MTAABS baru berumur hampir lapan tahun. Walaupun dikategorikan sebagai masjid kariah tetapi telah mencapai
pelbagai kejayaan dan pencapaian yang boleh dibanggakan serta dijadikan rujukan. Sepanjang 7 tahun (2017-2024) telah menyaksikan pelbagai pembangunan dan
pencapaian telah diraih oleh MTAABS. Di antara pencapaiannya adalah seperti berikut:

 Anugerah Masjid 3 Bintang Program Masjid Gemilang Negeri Pahang (PMGP) 2019.
 Anugerah Masjid Urus Tadbir Terbaik Pahang PMGP 2019.
 Menjadi Masjid rujukan oleh beberapa masjid utama di Pahang seperti Masjid Temerluh Jaya terutama dalam hal Urus Tadbir Masjid.
 Pengiktirafan Tandas Masjid Bertaraf 5 Bintang (Amat Bersih) 2021 hingga 2024 oleh Majlis Daerah Rompin (MDR) dalam Penggredan Tandas Rumah Ibadah.
 Pengiktirafan sebagai Rakan Strategik Muadzam Shah 2021
 Pengiktirafan Projek MTAABS Prihatin(13 Inisiatif Kebajikan)
 Projek/Program Kolaborasi/Rakan Strategik bersama hampir 40 Organisasi di peringkat daerah, negeri mahupun nasional.
 Terpilih sebagai salah satu masjid bagi projek rintis “One Stop Center” oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
 Mendaftar Caruman KWSP Pegawai & Staf Masjid.
 Mendfatar Caruman Perkeso Pegawai & Staf Masjid.
 Mewujudkan Skim Kesihatan Pekerja: Klinik Panel Kesihatan Pegawai & Staf Masjid
 Mewujudkan Skim Perjawatan Pekerja.
 Pembangunan Projek Kelestarian Ekonomi: Pulut & Co.
 Berjaya membangun Perancangan Strategik Masjid 2023-2027

Berdasarkan semua pembangunan dan pencapaian yang dinyatakan, sudah pasti ia memerlukan suatu perancangan teliti. Setelah dikaji dan diteliti maka tidak hairanlah MTAABS mampu mencapai ke tahap ini. Malah MTTAABS boleh dikatagerorikan institusi yang mengamalkan pengurusan institusi berciri korporat.

Faktor utama yang menyumbang kepada beberapa pencapaian ini adalah keupayaan pengurusan MTAABS menetapkan hala tuju yang jelas dalam merangka dan membangun insitusi masjid sama ada jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Selain itu pengurusan MTAABS juga mengambil kira faktor lokaliti masjid, urus tadbir institusi serta pengurusan kewangan yang baik serta berlandaskan visi dan misi yang jelas.

Semua ini berpaksi kepada Pelan Pembangunan 5 Tahun yang telah dibangunkan oleh pengurusaan MTAABS. Pelan tersebut adalah Pelan Perancangan Strategik MTAABS 2018-2022 (Pelan Pertama) dan Pelan Perancangan Strategik MTAABS 2023-2027 (Pelan Kedua). Jika diteliti secara mendalam terhadap pelan semasa iaitu Pelan Perancangan Strategik MTAABS 2023-2027 (Pelan Kedua), pengurusan MTAABS telah menetapkan; 5 Matlamat Strategik, 8 Objektif Strategik, 21 Inisiatif Strategik dan 4 Nilai Teras Strategik.

Langkah-langkah ini terarah kepada mengukuhkan MTAABS sebagai Pusat Sehenti Masyarakat iaitu pusat ibadah, ilmu, kebajikan, pendidikan, ekonomi, kesukarelawanan dan Pusat Rehat & Rawat. Semua perancangan ini juga pada dasarkan untuk mencapai Visi MTAABS yang telah ditetapkan oleh pengurusanya iaitu “Menjadi Sebuah Institusi Ibadah, Perkembangan Ilmu & Pemerkasaan Sosio Budaya Yang Holistik Dalam Mengisi Proses Pemberdayaan Ummah”.

Satu perkara yang boleh dibanggakan adalah kemampuan pengurusan MTAABS membangun dan melaksanakan pengurusan risiko yang sangat baik dalam menghadapi wabak Covid19 yang lalu. Pada waktu ini kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) berkuatkuasa mulai 18 Mac 2020 di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Keadaan ini secara langsung telah memberi kesan besar kepada keseluruhan pengoperasian institusi MTAABS, sumber kewangan, aktiviti-aktiviti serta perancangan jangka pendek dan jangka panjang MTAABS. Walau bagaimanapun dengan tindakan pantas dan kepekaan kepada keadaan semasa maka pihak pengurusan MTAABS telah mampu merangka strategi dan perancangan khusus bagi menghadapi ketidaktentuan situasi. Berasaskan segala perancangan dan usaha MTAABS dapat menangani dan keluar daripada cabaran wabak Covid-19 secara berperingkat.

Beberapa fokus telah dilaksanakan dalam menghadapi ketidaktentuan situasi penularan wabak Covid-19 ini. Di antara fokus utama tindakan yang telah diambil oleh pengurusan MTAABS adalah  Pengurusan Pentadbiran Institusi Menghadapi Wabak Covid-19 merangkumi Membentuk Jawatankuasa Kerja Pengurusan Menghadapi Wabak COVID-19, Perubahan Fokus Perancangan Strategik MTAABS 2021, Pengurusan Pegawai & Pekerja Am, Pengurusan Kewangan-terutama hal penggajian 7 orang staf, Pengurusan Sebaran Maklumat, Pengurusan Disinfeksi Bangunan Masjid. Pengurusan Bantuan Prihatin; merangkumi bantuan prihatin; ahli kariah, Jemaah & Komuniti Muadzam Shah dan Pegawai & Pekerja MTAABS. Pengurusan Pengisian MTAABS. Pengurusan Pembukaan Semula MTAABS. (5) Pengurusan Solat Jumaat dan Solat Fardu Berjemaah dan Pembinaan Jaringan Kerjasama Jawatankuasa Penduduk – Badan Berautoriti Tempatan.

Berdasarkan penelitian seperti dinyatakan dan contoh di atas, adalah jelas sesebuah institusi masjid itu akan dapat dibangunkan dengan baik melalui keupayaan pengurusan institusi masjid dengan menetapkan hala tuju yang jelas. Ini meliputi  membangunkan visi, misi, moto, serta pelan perancangan strategik yang menyeluruh dengan mengambil kira realiti, keperluan persekitaran serta sentiasa peka dan bersedia dengan sebarang risiko yang mendatang.

Oleh itu adalah suatu yang mustahak bagi setiap institusi pengurusan masjid di negeri dan daerah memastikan perkara berkaitan perancangan hala tuju diberi keutamaaan  pengurusan insititusi masjid berbanding hanya memikirkan tentang penganjuran aktiviti, program/kuliah semata-mata tanpa mengetahui keperluan utama. Sudah tentu perkara ini bukan suatu perkara yang mudah tetapi suatu tindakan yang tepat harus diambil segera oleh badan-badan berwajib yang berkaitan pengurusan institusi masjid sebagai contoh unit pengurusan dan pembangunan masjid negeri dan daerah.

 

Penulis merupakan Timbalan Dekan (Akademik & Penyelidikan) Kolej Pendidikan
Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here