KUALA LUMPUR – Susulan tularnya isu serbuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke atas rumah pelakon terkenal, Rozita Che Wan beberapa hari lalu, ruangan komen di Instagram milik pelakon itu masih dibanjiri netizen.
Dalam hantaran terbaharu semalam yang memaparkan Rozita mengenakan baju pengantin, ramai netizen meninggalkan komen berkaitan pinjaman MARA yang gagal dilunaskan, serta mengulas reaksi pelakon itu yang dilihat seolah-olah tidak terkesan dengan isu yang sedang tular.
“Beza betul cara Che Ta dengan Vivy handle isu kewangan.. Che Ta buat tak tahu, Vivy senyap,” tulis seorang netizen.
Namun, di sebalik kritikan, ada juga netizen yang memberikan kata-kata semangat kepada pelakon yang lebih mesra disapa Che Ta itu.
“Semoga kita semua dijauhkan daripada sifat perli memerli, kutuk mengutuk, Insha-Allah hidup kita semua bahagia dalam jagaan Allah.
“Semoga Allah permudahkan urusan Che Ta dan keluarga. Setiap masalah ada penyelesaiannya,” tulis seorang netizen lain.
Walaupun isu berkenaan terus menjadi perbincangan hangat di media sosial, pelbagai pandangan dan sokongan terus diberikan kepada Rozita Che Wan, yang kini memilih untuk tidak memberi reaksi terhadap kontroversi ini. – MalaysiaGazette