KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, Kerajaan Arab Saudi dan keluarga dirajanya tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan bahawa pemerintah ketika itu, Raja Abdullah menyalurkan derma kepada beliau.
Bekas Perdana Menteri menegaskan, Menteri Luar Arab Saudi (ketika itu), Adel Al-Jubair sendiri memaklumkan kepadanya bahawa derma yang diberikan oleh Raja Abdullah dan dua putera Arab Saudi itu sememangnya dari Almarhum.
Selain itu, Najib berkata, menteri berkenaan juga tidak mengeluarkan kenyataan langsung mahupun rasmi bagi menafikan atau menarik balik kenyataan beliau (Adel) sebelum ini.
“Hingga kini, baik keluarga diraja mahupun Kerajaan Arab Saudi tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk menyangkal perkara ini, sebagaimana pendekatan biasa keluarga diraja bertindak balas terhadap tuntutan tidak berasas untuk melindungi integriti mereka,” ujar Najib.
Sebagai contoh, ujar beliau, pada Mei 2023, wujud kenyataan palsu yang tular di media sosial kononnya dari Istana Negara bahawa Seri Paduka tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengendalian kes rasuah melibatkan pegawai tinggi.
Menurut Najib, kenyataan itu tular dengan cepat dan mendapat perhatian umum menyebabkan pihak Istana Negara segera mengeluarkan penafian rasmi bagi menjelaskan bahawa tiada kenyataan sedemikian dikeluarkan.
Bekas Perdana Menteri berkata, tindakan itu menunjukkan pendekatan proaktif institusi diraja di negara ini dalam menangani tuntutan palsu untuk memelihara integritinya.
“Isu derma itu dinafikan oleh pemimpin pembangkang negara ini, bukan Adel. Hakikat bahawa tiada penafian sedemikian dikeluarkan dari mereka mengukuhkan kredibiliti kepercayaan saya bahawa dana itu sememangnya derma,” ujar beliau.
Sebelum ini, Najib berkata, beliau percaya RM60.6 juta yang diterimanya dalam akaun peribadi AmIslamic Bank adalah sumbangan Almarhum Raja Abdullah seperti disahkan oleh Adel Al-Jubair.
Derma itu antaranya diterima daripada dua putera Arab Saudi, Putera Faisal dan Putera Saud serta disalurkan oleh Kementerian Kewangan Riyadh.
Menurut Najib, lebih merisaukan kerana tuduhan pendakwaan yang mengaitkan derma itu dengan penyalahgunaan kuasa, bukan sahaja memburukkan beliau, malah menghina integriti keluarga Saud yang merupakan keluarga diraja yang disegani.
Ujar bekas Perdana Menteri, dakwaan mengaitkan Almarhum Raja Abdullah dan keluarga baginda kerana bersekongkol dengan beliau merupakan tindakan secara melulu tanpa menghormati keluarga diraja itu.
“Ia sengaja direka untuk memburukkan saya dan mencemarkan hubungan Malaysia-Arab Saudi,” ujar beliau ketika membacakan pernyataan saksi tambahan setebal 147 muka surat hari ini.
Beliau membela diri terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 6 Januari tahun depan. – MalaysiaGazette