PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mengkaji semula elaun kritikal bagi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kenaikan gaji bagi anggota JBPM dinaikkan bersama penjawat awam lain dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mulai bulan ini.
“Tahun hadapan (gaji penjawat awam) akan naik lagi, tapi tentang soalan itu adalah tentang mengenai elaun kritikal.
“Itu dalam kajian, memang itu sentiasa dalam agenda kementerian untuk perbaiki kebajikan (anggota bomba). Visi saya adalah supaya anggota bomba kita adalah setanding dengan pasukan uniform yang lain supaya mereka dipertimbang (kenaikan gaji) yang sewajarnya,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas menyempurnakan flag off Skuad Insan Madani di pekarangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Atirah Sabu dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Pada bulan lalu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menggesa Putrajaya mengkaji semula gaji dan elaun anggota bomba.
Young Syefura menyatakan pegawai polis boleh memperoleh kenaikan RM972 berbanding anggota bomba dalam setahun, sementara Suhaimi berkata insentif RM110 sebulan tidak lagi relevan dan perlu dinaikkan selaras dengan keadaan kehidupan semasa.
Malah pada Ogos lalu, bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda menggesa agar kerajaan menyemak semula gaji anggota JBPM kerana pendapatan diterima kini tidak setimpal dengan skop kerja yang dilakukan.
Jelas Azih, anggota beruniform itu sepatutnya menerima kadar upah yang lebih baik berbanding penjawat awam lain. – MalaysiaGazette