KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan daripada bapa bayi yang meninggal dunia di salah sebuah hospital swasta di Klang Selatan baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan tersebut diklasifikasikan di bawah kertas inkuiri polis (KEP).
Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang sedang menjalankan siasatan secara mendalam bagi menentukan sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut serta menanganinya sebaik mungkin.
“Mereka yang berkaitan termasuk pihak hospital akan dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, dakwaan yang tidak disahkan boleh berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Hussein turut memberikan peringatan kepada pengguna media sosial agar mengelak daripada menyalahgunakan platform berkenaan daripada menyebar kandungan tidak sahih sehingga menimbulkan kegusaran awam.
“Semua pihak diharap bersabar dalam menunggu hasil siasatan yang sebenar,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan bapa kepada arwah bayi Adham yang ‘disimpan’ dalam peti sejuk mayat oleh hospital swasta selama lebih dua minggu, sudah membuat laporan polis semalam.
Perkara itu disahkan peguamnya, Muhammad Hariz Md Yusoff yang berkata, laporan dibuat di Balai Polis Kota Damansara.
Sebelum ini, bapa kepada bayi lelaki dinamakan Adham memberi tempoh kepada netizen yang melontarkan fitnah dan tuduhan di media sosial supaya menarik balik atau berdepan tindakan saman.
Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Safwan Roshdy dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pemilik akaun media sosial yang melemparkan fitnah terhadap anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.
Beliau berkata, tindakan saman sivil dan jenayah mungkin boleh diambil terhadap pihak hospital kerana kesalahan menyimpan jenazah bayi selama 16 hari disebabkan bapa tidak menjelaskan bil rawatan.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu mendapatkan siasatan lanjut oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette