Ketua Polis Daerah Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berucap pada sidang media berhubung penangkapan kes samun bersenjata di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 13 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga gerai makan mengalami detik cemas apabila diugut seorang lelaki tidak dikenali sebanyak RM500 di Jalan Sentul Pasar, di sini, pada 5 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek telah mengugut akan merosakkan gerai mangsa jika beliau tidak menurut permintaannya.

“Suspek kemudiannya telah datang semula ke gerai pada jam 2:30 petang untuk mengambil makanan dan beredar tanpa membuat sebarang bayaran.

“Peniaga yang risau akan keselamatan diri telah membuat aduan di balai polis mengenai kejadian yang berlaku,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sentul, hari ini.

Ahmad Sukarno, sehubungan itu satu serbuan yang membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 25 tahun oleh sepasukan polis dari Cawangan D7 IPD Sentul pada 8 Disember lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati, suspek mempunyai 15 rekod jenayah dadah dan jenayah lampau.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan dengan tujuan melakukan pemerasan dan boleh dihukum penjara sehingga 7 tahun dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast