Tangkap layar memaparkan penulis blog kontroversi, Papagomo ditahan polis awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Penulis blog kontroversi, Wan Azri Wan Deris atau Papagomo ditahan di kediamannya di Putrajaya awal pagi tadi dipercayai berkait kes menipu dan aktiviti pengubahan wang haram.

Peguam, Rafique Rashid Ali berkata, penahanan Papagomo dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sekitar jam 1.30 pagi.

Katanya, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan berkait dengan kes memanipulasikan nama sebuah syarikat ‘Invoke Solutions’ bagi mengutip dana daripada orang awam.

“Paling mengejutkan adalah penahanan itu dilakukan terkait dengan laporan polis yang dibuat oleh seorang menteri pada Julai lalu.

“Seramai lapan anggota polis dari Bukit Aman datang dan menahan Wan Azri di rumahnya pagi tadi serta mendapat perintah reman selama sehari untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, dalam tangkapan itu polis turut merampas telefon bimbit milik Papagomo dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jinjang bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan tangkapan tersebut berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kes tipu.

“Dia (Papagomo) ditahan berkaitan kes AMLA,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular video di aplikasi Tiktok memaparkan kehadiran beberapa anggota polis yang menahan Papagomo dikediamannya, pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here