Peguam kepada Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap pada sidang media mengenai prosiding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi kes penyelewengan dana 1MDB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 13 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendakwa, wujud campur tangan politik daripada kuasa asing bertujuan merosakkan kedaulatan negara ketika di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ia bukan spekulasi sebaliknya berlaku khususnya semasa pentadbiran Demokratik di Amerika Syarikat.

Ujar beliau, campur tangan itu didakwa turut didokumentasikan hasil pembiayaan Open Society Foundations pimpinan George Soros namun ia bocor pada 2016.

“Dokumen itu mendedahkan strategi untuk mempengaruhi pendapat awam dan menggugat kerajaan yang dipimpin oleh Najib yang ketika itu Presiden UMNO.

“Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) kemudiannya mengambil tindakan pelucutan hak sivil berkaitan 1MDB yang luar biasa dan mendapat liputan meluas.

“Tindakan ini berlaku secara kebetulan dengan kebocoran dokumen yang menyerlahkan kempen antarabangsa yang dikoordinasikan untuk mempengaruhi politik domestik Malaysia,” ujar beliau pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau ditemui selepas prosiding bela diri Najib terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Ketika membacakan kenyataan media, Shafee berkata, walaupun DOJ mengakui aduan pelucutan hak sivil hanya dakwaan, ia mencipta naratif palsu yang mencemarkan nama Najib sebelum bukti dikemukakan di mahkamah.

Menurut pasukan pembelaan, pendekatan tersebut mencerminkan taktik yang digunakan oleh DOJ, sama seperti pentadbiran Demokratik AS terhadap Presiden AS, Donald Trump, iaitu siasatan bermotif politik yang diperbesarkan oleh naratif media yang agresif.

Kata Shafee, persamaan itu amat ketara, baik Najib mahupun Trump perlu menghadapi kempen tanpa henti daripada DOJ dan digunakan sebagai alat untuk agenda politik.

Tambahan pula, kempen fitnah terhadap Najib disemarakkan lagi dengan menghasilkan dokumentari sebelah pihak mengenai isu 1MDB yang disiarkan secara global untuk memperkukuhkan naratif bersalah tanpa perbicaraan.

“Akibat daripada tindakan ini, jelas bahawa Malaysia mengalami ketidakstabilan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan empat Perdana Menteri dalam hanya empat tahun selepas 2018, satu hasil yang menonjolkan kejayaan campur tangan yang terancang ini,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, pembelaan Najib ketika ini, bukan sahaja mahu membersihkan nama, malah menjadi pendirian terhadap hakisan kedaulatan Malaysia oleh kuasa luar.

Menurutnya, persamaan antara kes Najib dan Trump mengingatkan semua pihak terhadap satu trend yang membimbangkan, iaitu penggunaan institusi perundangan untuk agenda politik bermotif untuk melemahkan pemimpin yang mencabar status quo. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here