R. Simachalam dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor bagi menghadapi pertuduhan memandu secara melulu dalam kejadian tular di Damansara Damai. FOTO NORLIZAH ABAS, 13 DISEMBER 2024.

PETALING JAYA – Seorang pemandu kereta berwarna kuning yang tular melakukan aksi drift mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu di sebuah stesen minyak di Damansara Damai di sini Isnin lalu.

Pembantu kedai runcit, R. Simachalam, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Proton Perdana secara melulu yang boleh membahayakan diri dan orang lain, di Jalan PJU10/10B, Damansara Damai, pada 2.55 petang, 9 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 dan RM15,000, jika sabit kesalahan.

Bagi sabitan kedua atau seterusnya, hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam V. Pushparajan yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya diikat jamin pada kadar minimum.

“Dia perlu menjaga ibunya yang berusia 59 tahun dan abang yang lumpuh berusia 39 tahun,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Farah Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Januari tahun depan bagi sebutan kes.

Khamis lalu, media melaporkan polis menjalankan siasatan berhubung sebuah video tular membabitkan tindakan seorang lelaki merokok di sebuah stesen minyak dan memandu secara berbahaya di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihak berkuasa mengesan video tular berkenaan yang memaparkan seorang individu menghisap rokok di kawasan itu sebelum melakukan provokasi dengan memandu secara membahayakan, apabila ditegur oleh seorang orang awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast