KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut akibat digilis sebuah lori kontena dalam nahas empat kenderaan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LPD) dari arah USJ menghala ke Plaza Tol Puchong Barat semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian 7.30 petang itu, mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 40 tahun dan disahkan mati di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal di lorong tengah dari USJ menghala ke Plaza Tol Puchong Barat telah terlibat kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dengan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti.
“Kemudian, mangsa telah hilang kawalan dan bergesel dengan dua buah kenderaan jenis EV dan Innova yang berada di lorong kiri jalan lalu terjatuh di lorong tengah sebelum digilis lori kontena,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azlan, mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes terbabit disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Susulan itu pemandu Bezza berwarna Perak diminta hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling bagi memberi keterangan.
Saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini bolh menghubungi Inspektor Mohd Hamdan Jeramatin di talian 019-464 2222,” jelasnya. – MalaysiaGazette