KUALA LUMPUR- Tahun kedua di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan menyaksikan pentas politik negara lebih stabil berbanding tahun 2023.
Sepanjang tahun 2024, terdapat empat Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan berbanding enam PRK dan enam Pilihan Raya Negeri (PRN), tahun lepas.
Empat PRK berkenaan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, DUN Sungai Bakap, DUN Nenggiri dan DUN Mahkota, dengan tiga daripadanya disebabkan kematian penyandang, manakala satu susulan penyandang digugurkan keahlian parti.
PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei adalah yang pertama tahun ini dan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac akibat kanser.
Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pang Sock Tao yang dipertaruhkan mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi yang disandang mendiang Lee daripada DAP sejak 2013, menang dengan majoriti 3,869 undi.
Beliau menewaskan tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Ia kemudian disusuli dengan PRK Sungai Bakap yang diadakan pada 6 Julai, menyaksikan PN mengekalkan status quo selepas calonnya Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi menewaskan calon PH Dr Joohari Ariffin.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut.
PRK Nenggiri pula adalah satu-satunya pilihan raya yang diadakan selepas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim yang bertanding menggunakan logo PAS pada PRN Kelantan ke-15 tahun 2023, digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun susulan tindakannya mengikrar sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kekosongan itu diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkuat kuasa pada 19 Jun selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun.
PRK Nenggiri yang berlangsung pada 17 Ogos, menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan majoriti 3,352 undi, menewaskan pencabarnya Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili PN.
Momentum kemenangan parti di dalam gabungan Kerajaan Perpaduan diteruskan apabila BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota, selepas calonnya Syed Hussien Syed Abdullah memperoleh majoriti besar 20,648 undi pada PRK itu, 28 Sept lepas.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu menewaskan pencabarnya daripada PN Mohamad Haizan Jaafar pada PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang, Johor.
Selain itu, episod enam Ahli Dewan Rakyat daripada Bersatu yang memberi sokongan kepada Kerajaan MADANI, turut mencuri tumpuan tahun ini, dengan ramai menjangkakan akan berlakunya PRK.
Sebaliknya, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi melibatkan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), di bawah Perkara 49A (1) Perlembagaan Persekutuan.
Tahun 2024 juga menyaksikan pemilihan kepimpinan baharu parti diadakan membabitkan DAP negeri dan Pemuda DAP Kebangsaan, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Bersatu.
Bagi pemilihan DAP, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan Anthony Loke kekal menerajui kepimpinan DAP Negeri Sembilan sebagai pengerusi bagi penggal 2024-2027, manakala Ketua Wanita DAP yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dipilih sebagai Pengerusi DAP Johor.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP yang juga Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dipilih sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang, manakala Penasihat DAP Kebangsaan Tan Kok Wai dan Naib Pengerusi Kebangsaan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, masing-masing kekal menerajui Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak.
Pemilihan DAP negeri juga menyajikan kejutan apabila Timbalan Pengerusi Kebangsaan yang juga Menteri Digital Gobind Singh Deo, gagal mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Selangor dan ia dimenangi Penolong Bendahari Kebangsaan yang juga Exco Selangor Ng Sze Han.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Woo Kah Leong pula dipilih Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) bagi tempoh 2024-2027.
Pemilihan MIC untuk penggal 2024-2027 menyaksikan Tan Sri S. A. Vigneswaran dan bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, masing-masing mempertahankan jawatan sebagai Presiden MIC dan Timbalan Presiden MIC selepas menang tanpa bertanding pada 6 Julai.
Pemilihan PBRS pula menyaksikan Timbalan Presiden yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup diumumkan menang tanpa bertanding jawatan presiden pada Persidangan Tri-Tahunan Keempat PBRS, pada 16 Nov.
Bagi pemilihan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal menerajui parti sebagai presiden manakala bekas setiausaha agung Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipilih sebagai timbalan presiden bagi penggal 2024-2027 selepas menang tanpa bertanding.
Sementara itu, PKR memutuskan untuk menangguhkan Kongres Nasional 2024 yang dijadualkan 15 Dis ini susulan banjir yang melanda beberapa negeri.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti, manakala Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh pula berkata MPP memutuskan bahawa satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan Parti akan diadakan pada 15 Dis di Selangor. -BERNAMA
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast