Raja Charles III lawat Battersea Power Station

KUALA LUMPUR- Raja Charles III melawat bangunan ikonik Battersea Power Station, semalam bagi merasai sendiri pengalaman sambutan Krismas di kawasan kejiranan di tepi sungai itu, di samping berpeluang bertemu peniaga-peniaga kecil yang terlibat dalam pasar Krismas tahun ini.

Baginda disambut Pengerusi Battersea Project Holding Company, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company, Donagh O’Sullivan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Zakri Jaafar.

Menurut Shahril Ridza, pihaknya berbangga dapat menyambut kehadiran Raja Charles III ke Battersea Power Station bagi melihat sendiri transformasi pemulihan semula bangunan yang disenarai sebagai Gred II* itu.

“Menciptakan rasa kebersamaan di Battersea Power Station sentiasa menjadi fokus utama para pemegang saham dan hari ini sangat istimewa apabila melihat begitu ramai anggota komuniti tempatan berkumpul untuk meraikan detik bersejarah bagi Battersea Power Station ketika ia sedang meriah dengan sambutan Krismas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semasa lawatan itu, baginda dibawa melawat ke Curated Makers Christmas Market di Turbine Hall A serta berjumpa pengasasnya, Megan Jones yang pernah menyertai program keusahawanan Dana Raja Charles.

Ia merupakan satu kursus percuma yang membantu orang ramai memulakan perniagaan sendiri.

Raja Charles III turut bertemu masyarakat setempat termasuk kanakpkanak sekolah dari Chesterton Primary School serta melawat Ibu Pejabat Apple United Kingdom yang terletak di Boiler House serta berjumpa Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook.

Di bawah pemeliharaan pemegang saham Malaysia seperti Sime Darby Property, S P Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Battersea Power Station telah dipulihkan dengan cemerlang dan kembali gah seperti zaman kegemilangan untuk dinikmati oleh orang awam.

Pada tahun 2019, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan KWSP menjadi pemilik jangka panjang Power Station, memastikan masa depan mercu tanda ini untuk generasi akan datang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here