KUALA LUMPUR – Datuk Dr Ibrahim Ali menyifatkan riuh rendah berhubung isu RCI Pulau Batu Puteh boleh menjadi satu “jerangkap samar makan tuan.”
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu mendakwa isu tersebut hanya untuk “mengenakan” bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Jelas beliau, isu itu pada akhirnya tidak akan kemana dan hanya menyebabkan duit serta masa kerajaan terbuang.
Tambahnya, perkara yang sama turut berlaku dalam isu titah adendum.
“Mengenai isu titah adendum pula, riuh rendah dan semua pihak buka mulut. Ada yang guna untuk cari publisiti dan meraih talian hayat politik untuk diri sendiri. Ada yang berdegar-degar dan ada yang relaks.
“Yang relaks, yang istiqamah tidak menjadikan isu adendum sebagai modal cari makan politik. Isunya tidak perlu memekik dan cukup menimbulkan soal ada atau tidak adendum…dari penjara ke tahanan rumah…politik bagi negaraku Malaysia,” katanya menerui hantaran di Facebook.
Menurut Ibrahim, isu besar yang sepatutnya menjadi tumpuan semua pihak adalah membabitkan bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther yang dituduh memiliki dadah dan pistol tiruan.
“Apakah tuduhan ini benar atau ianya perangkap kerana Yusoff Rawther ada kes dengan orang kenamaan?
“Akta dadah tidak boleh jamin dan berdepan hukuman mati. Jika ia perangkap, ini kezaliman dan tidak boleh dibiar tanpa semua pihak bersuara.
Justeru Ibrahim menggesa parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak yang menentang kezaliman agar bangkit bersuara dan bertindak bagi mencari keadilan terhadap Yusoff Rawther. – MalaysiaGazette