MELAKA – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dan bersubahat memiliki 54 tabung kutipan derma sejak November lalu.
Kedua-dua tertuduh, Nuruddin Hasbullah Zainal, 33 dan isterinya, SyaidatulNor Syahidra Firdaus, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri, sebaik semua lima pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka secara bersama-sama didapati telah memiliki 21 dan 33 tabung tabung derma pelbagai jenis dan gagal memberikan penjelasan yang memuaskan kepada pihak berkuasa bagaimana tabung itu diperoleh.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK).
Tertuduh turut didapati bersubahat memiliki tabung derma Madrasah Darul Tolabah Dan Huffaz Melaka yang disyaki merupakan harta curi tanpa alasan munasabah.
Perbuatan itu menjadi kesalahan di bawah Seksyen 109 KK dan dibaca bersama Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Shaidatul turut berdepan pertuduhan melakukan kesalahan bersubahat dengan memiliki tabung madrasah yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 109 KK dibaca bersama Seksyen 411 KK yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah dan dalam bonet sebuah kereta jenis Perodua Bezza di Amber Cove Residence pada kira-kira pukul 12.10 pagi 4 Disember lalu.
Sementara itu, Nuruddin Hasbullah turut mengaku bersalah bagi pertuduhan dengan niat curang disyaki memiliki harta curi tabung derma dari Madrasah Tahfiz Al-Quran Desa Darul Naim Kasih, Sungai Rambai.
Kesalahan itu dilakukan di kedai menjual buah-buahan di Lorong Pandan, Melaka dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11.30 malam 11 November lalu.
Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 380 KK.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan berulang dilakukan pasangan itu selain sebagai pengajaran kepada masyarakat.
Kedua-dua tertuduh yang diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Muhammad Mawardi Zainudin bagaimanapun merayu tertuduh yang merupakan pasangan suami isteri hanya dikenakan hukuman penjara dari tarikh ditangkap 4 Disember lalu.
Hujahnya, ini kerana mereka sudah menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan keluarga termasuk anak berusia 10 tahun.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mengenakan hukuman penjara 12 bulan bagi kedua-dua tertuduh untuk kesemua pertuduhan dari tarikh ditangkap. – MalaysiaGazette