KUALA LUMPUR – Pelakon Azhan Rani memberitahu dia tiada niat bermegah apabila berkongsi aktif menderma darah plasma kepada golongan yang memerlukan.
Azhan atau Azhan Abdul Rani, 48, berkata, dia bakal genap menderma darah plasma untuk kali ke-100 iaitu dua minggu lagi.
Menerusi hantaran di Instagramnya, Azhan berkongsi kegembiraan apabila berharap terus dapat berbakti kepada masyarakat.
“Yang tak tahu kenapa dia (darah) warna kuning, sebab itu darah platelet dan plasma yang dah diasingkan dari darah merah oleh mesin.
“Ada izin Allah, insyaAllah 2 minggu lagi panjang umur, sihat badan, bolehlah genapkan 100.
“Banyaknya derma darah? Tak banyak pun. Tadi baru sembang dengan staf Pusat Darah Negara, rekod sekarang penderma darah paling banyak dah 800 kali dan masih aktif menderma.
“Selagi sihat dan mampu nikmat kesihatan ni boleh je dikongsi pada yang memerlukan,” tulisnya.
Azhan menambah, dia mahu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penting derma darah.
“Tak kisahlah penderma darah utuh atau penderma apheresis macam aku ni.
“InsyaAllah, sama-sama kita bantu yang memerlukan sambil bantu tingkatkan kesihatan diri sendiri.
“Tiada paksaan, hanya galakan. Yang sihat dan layak menderma, jom,”ajaknya.
Pada November 2022, Azhan berkongsi dirinya kembali menderma darah plasma buat kali ke-50 selepas setahun terbabit dalam kemalangan jalan raya. – MalaysiaGazette