Oleh: Mohd Ridwan Talib dan Mohd Hazmi Mohd Rusli
BARU-baru ini, tiga orang bekas Menteri dalam Kabinet kerajaan 2018 telah mengeluarkan kenyataan bersama yang menegaskan Tun Dr. Mahathir sepatutnya memikul tanggung jawab sepenuhnya berkenaan dengan isu Batu Puteh dan bukannya meletakkan kesalahan dibahu Menteri Kabinet yang tidak terlibat dalam keputusan kerajaan itu.
Artikel 43 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Jemaah Menteri mestilah bertanggung jawab secara bersama kepada Parlimen.
Ini bermaksud, setiap Menteri Kabinet diikat secara undang-undang dengan prinsip tanggung jawab bersama dalam semua keputusan kerajaan. Malah, tiada seorang Menteri terkecuali daripada tanggung jawab ini.
Prinsip tanggung jawab bersama bermaksud kabinet/Jemaah Menteri berfungsi seperti sebuah pasukan yang mana setiap menteri bebas untuk bersuara, khususnya menegur dan membangkang.
Semua ini boleh dilaksana dalam setiap mesyuarat Kabinet, mesyuarat jawatankuasa Kabinet dan mesyuarat ad hoc.
Namun, apabila keputusan telah dibuat, setiap menteri diwajibkan oleh undang-undang untuk menyokong dan mempertahankan keputusan kerajaan itu dimata rakyat jelata.
Natijahnya, semua Jemaah Menteri mestilah bersatu minda dan nurani dalam melaksanakan semua polisi dan keputusan kerajaan.
Perselisihan sesama menteri ialah suatu yang tidak dapat dibendung tetapi ia mestilah dilindung daripada kacamata rakyat demi memelihara keselanjaran pentadbiran kerajaan.
Prinsip tanggung jawab bersama juga bertujuan mengekalkan keharmonian dalam Kabinet, lantas menjamin kelancaran jentera pentadbiran negara.
Ini bermakna, jika ada menteri yang berbalah pendapat dengan keputusan Perdana Menteri dan tegas dengan pendiriannya, menteri tersebut mesti mengambil tindakan terhormat dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Kabinet.
Sejarah telah membuktikan bahawa peletakan jawatan Menteri Kabinet tidak pernah mengganggu kesinambungan kerajaan.
Contohnya, pada 1989 Tun Musa Hitam telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri lantaran perselisihan dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir.
Tokoh politik seperti Tun Dr. Ismail juga meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 1969.
Apabila Menteri bertindak bertentangan atau membelakangkan prinsip ini, mereka sebenarnya telah mengkhianati amanah sebagai seorang menteri dan wakil rakyat yang dipilih semasa piliha nraya.
Maka, jalan penyelesaian terbaik ialah untuk menteri terbabit meletakkan jawatannya.
Keputusan yang dibuat pada tahun 2018 bukanlah ketentuan yang hanya ditetapkan oleh Perdana Menteri pada ketika itu, akan tetapi adalah tanggungjawab yang wajib dipikul oleh seluruh anggota Kabinet atau cabinet collective responsibility.
Jelas sekali, dari sudut pandang akademik dan Perlembagaan, adalah tidak wajar untuk menuding jari hanya kepada Tun Dr. Mahathir dalam isu berkaitan penarikan semula semakan Batu Puteh separuh dekad yang lalu.
Kedua-dua penulis adalah penyelidik di universiti tempatan.