PONTIAN – Kesilapan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia memakai jersi jenama Victor memaparkan Jalur Gemilang terbalik pada perlawanan pertamanya di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, tiga hari lalu disifatkan kecuaian kritikal.
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mengambil maklum permintaan maaf oleh Victor selaku penaja pemain perseorangan profesional negara itu
Beliau juga meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menasihatkan masyarakat tidak keterlaluan memberikan komen di media sosial.
“Pada saya, itu satu kesilapan ketara, baju yang akan dipakai oleh pemain yang cukup dikenali dan mewakili negara membawa bendera Malaysia. Saya anggap itu satu kecuaian yang kritikal. Kita ambil maklum.
“Apa pun, kita perlu sentiasa bersederhana dan biar pihak berkuasa ambil tindakan. Saya mengambil maklum di pihak Lee Zii Jia (penaja) telah ada permohonan maaf,” katanya.
Fahmi Fadzil diberi taklimat semasa meninjau tapak projek Prove of Concept (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian, Pontian, hari ini.Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja meninjau tapak projek Prove of Concept (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian di sini, hari ini.
Fahmi turut memaklumkan, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung komen menyentuh sensitiviti tentang isu itu.
Beliau berkata, sekira ada siasatan, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
“Cuma nasihat saya dalam kes bukan hanya seperti ini, mana-mana kes sekalipun pengguna internet, media sosial berpada-pada meletakkan komen, kadang kala komen boleh disalah erti dan kita tidak mahu ada satu keadaan dia mengapi-apikan.
“Biarlah kita ambil tindakan bersesuaian, kita nak situasi seperti ini tidak berulang itu yang kita harapkan,” katanya.
Terdahulu, Zii Jia dilanda kontroversi apabila dengan jelas di kaca televisyen, pemain itu memakai jersi dengan Jalur Gemilang ditampal di bahagian kiri baju dalam keadaan terbalik.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, pihaknya akan merangka satu kod baharu berkaitan etika pemakaian atlet termasuk membabitkan penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian mereka.
Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan insiden sama berulang membabitkan penggunaan Jalur Gemilang termasuk yang terbaharu membabitkan Zii Jia. – MalaysiaGazette