SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Shah Alam mengambil pendirian untuk membatalkan hasrat untuk membubarkan bahagian tersebut.
Calon Ketua Bahagiannya, Mohamad Fadzil Ahmad berkata perkara itu diputuskan apabila 10 cawangan bahagian itu dengan 75 perwakilan sebulat suara memberikan sokongan kepada beliau untuk terus menerajui bahagian terbabit.
“Setakat ini tidak jadi bubar, sebab apa yang kita maklumkan kita dapatkan sokongan daripada perwakilan. Ternyata tadi perwakilan Bersatu Shah Alam memberikan sokongan kepada saya untuk meneruskan perjuangan di dalam Bersatu.
“Di belakang saya adalah 10 cawangan dengan 105 perwakilan yang menyokong saya,” katanya dalam sidang media di Dewan Lavender, Seksyen 7, Shah Alam, hari ini.
Pembatalan itu dibuat selepas seramai kira-kira 75 perwakilan yang hadir secara sebulat suara menolak keputusan untuk membubarkan Bersatu bahagian berkenaan serta hasrat calon dan ketua-ketua cawangan meninggalkan parti.
Dalam pada itu, Ketua Bersatu Kampung Kebun Bunga, Mohamad Anuar Giman berkata pihaknya akan melihat kepada keadaan akan datang disebabkan ada perwakilan yang masih berbelah bahagi mengenai situasi Bersatu di kawasan itu.
“Ada di kalangan kami perwakilan yang masih berminat dengan parti dan ada yang sudah putus ada dengan parti,” katanya dalam sidang media sama.
Sidang media hari ini diadakan bagi memberikan penjelasan berhubung kemelut melanda Bersatu Bahagian Shah Alam yang menjurus kemungkinan pengumuman keluar parti oleh pemimpin dan ahli bahagian berkenaan.
Awal hari ini, media melaporkan bahagian itu akan terbubar apabila kesemua anggota dan ahli jawatankuasanya sebelum ini, dikatakan mahu keluar daripada parti.
Perkara itu didedahkan Mohamad Anuar yang juga bekas ahli jawatankuasa bahagian mendakwa akar umbi dari 10 cawangan termasuk bekas pimpinan di peringkat bahagian kecewa dengan penangguhan pemilihan sekali lagi.
Ia selepas persidangan bagi memilih barisan pimpinan baharu sesi 2025-2027 yang sepatutnya berlangsung pada hari ini ditangguhkan melalui surat dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pusat lewat malam Jumaat.
Terdahulu, pemilihan peringkat bahagian itu pada 2 November lalu ditangguhkan selepas berlaku insiden rusuhan susulan pertikaian terhadap tempoh masa kiraan undi yang melibatkan 128 perwakilan serta keraguan ke atas jumlah kertas undi dikeluarkan.
Susulan itu, kiraan semula undi dilakukan, namun dipercayai mengambil masa terlalu lama sehingga pukul 12.30 tengah malam untuk menentusahkan jumlah kertas undi dan pemilihan dilakukan.
Bagaimanapun, terdapat perwakilan yang tidak berpuas hati kemudian bertindak membuka undi tersebut menyebabkan peti undi dirampas dan dibawa ke balai polis untuk disimpan sehingga siasatan terhadap pemilihan tersebut selesai.
Persidangan Bersatu Bahagian Shah Alam ketika itu menyaksikan pertembungan antara Mohamad Fadzil Ahmad dan Mohd. Idris Abdul Halim bagi merebut jawatan ketua bahagian. – MalaysiaGazette