LONDON – Manchester United dilaporkan telah mencapai kesepakatan untuk menandatangani bek kiri kelahiran Paraguay, Diego Leon dari kelab Cerro Porteno.
Pemain berusia 17 tahun itu dilaporkan akan berpindah secara rasmi ke Old Trafford pada penghujung musim 2024-2025.
Pakar perpindahan, Fabrizio Romano berkata, United akan membayar wang perpindahan sebanyak AS$4 juta sebagai yuran perpindahan.
“Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju dengan bonus yang mudah dicapai sebanyak 1 juta dolar AS dan bonus berdasarkan prestasi individu atau pasukan yang mencecah sehingga AS$3.5 juta.
“Bagaimanapun, Diego Leon tidak serta-merta menyertai Man United pada pasaran perpindahan Januari dan hanya akan tiba di Old Trafford pada musim panas 2025,” tulis di media sosial miliknya.
Nama Leon berada dalam radar United bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dia adalah salah seorang pemain muda yang paling menonjol di Amerika Selatan pada masa ini.
Setakat musim ini, dia telah membuat 38 penampilan dengan menjaringkan dua gol.
Jika dilihat dari gaya permainannya, Leon merupakan seorang bek sayap yang gemar membantu untuk menyerang.
Dia juga mempunyai keseimbangan badan dan kelajuan yang baik dan dinilai mempunyai tendangan jarak jauh yang tepat dan keras.
Selain itu, keupayaan lain pemain tersebut ialah sering kali berjaya membawa bola melepasi lawan dan juga sering memenangi pertarungan bola secara individu. – MalaysiaGazette