Pada 23 Mei, 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia manakala Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Oleh: Nurul Azyani Zafirah Sabaruddin, Fareed Mohd Hassan dan Mohd Hazmi Mohd Rusli

KENYATAAN Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa Kerajaan sepatutnya ‘merayu’ semula Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2017 telah menimbulkan perdebatan. Persoalan utama – bolehkah Malaysia ‘merayu’ keputusan yang telah diputuskan oleh ICJ?

Undang-undang antarabangsa adalah tertakluk kepada kedaulatan sesebuah negara. Sesebuah negara atau entiti berdaulat tidak boleh dipaksa untuk melakukan sesuatu perkara. Maka, sebarang keputusan yang dibuat oleh ICJ tidak mengikat mana-mana pihak melainkan sekiranya pihak tersebut (dalam konteks ini, sesebuah entiti berdaulat) bersetuju untuk isu melibatkan kedaulatan negaranya diputuskan oleh ICJ.

Bagi menjawab persoalan di atas, penghakiman yang diputuskan oleh ICJ adalah muktamad dan tidak boleh dirayu menurut Perkara 60 Statut ICJ. Namun, terdapat suatu pengecualian yang mana semakan, bukan rayuan, dibenarkan mengikut syarat-syarat tertentu, seperti penemuan bukti-bukti baru yang tidak diketahui pihak-pihak sewaktu prosiding yang telah berlangsung.

Semakan ini hanya boleh dibuat dalam tempoh waktu 10 tahun setelah keputusan dibuat oleh ICJ (Perkara 61[5] Statut ICJ). 16 tahun telah pun berlalu setelah ICJ memutuskan Batu Puteh milik Singapura pada tahun 2008.

Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh keputusan ICJ tidak boleh dirayu, dan tempoh 10 tahun telahpun berlalu sekiranya Malaysia ingin membuat permohonan semakan kepada ICJ.

Kes Kuil Preah Vihear
Enam dekad yang lalu, Kemboja dan Thailand telahpun bersetuju untuk membawa kes berkaitan kedaulatan ke atas Kuil Preah Vihear ke ICJ. Pada tahun 1962, ICJ membuat keputusan bahawa kuil tersebut milik Kemboja. Namun, pada tahun 2013, Thailand berhasrat memohon kepada ICJ untuk mendapatkan interpretasi penghakiman bagi keputusan pada tahun 1962 berkenaan kedaulatan ke atas Kuil Preah Vihear. Kedaulatan ke atas kawasan permatang (promontory) di kawasan Kuil tersebut
diperdebatkan oleh Thailand yang menuntut pemilikannya.

Akan tetapi, pihak ICJ membuat keputusan untuk menetapkan bahawa Kuil Preah Vihear dan permatang yang berdekatan adalah milik Kemboja dan bukannya Thailand – membuktikan sulit bagi ICJ untuk berganjak dari keputusan awal yang ditetapkan.

Kesan bagi Malaysia
Malaysia tidak boleh merayu kes Batu Puteh, dan tempoh semakan telahpun berakhir. Batu Puteh milik Singapura dan tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan melainkan Singapura dan Malaysia bergabung semula membentuk sebuah Persekutuan. Perlu diingat, ICJ pada tahun 2008 hanya memutuskan kedaulatan Singapura ke atas Batu Puteh dan Malaysia ke atas Batuan Tengah.

Kedaulatan ke atas perairan disekitarnya serta pemilikan Tubir Selatan belum lagi ditentukan. Sekiranya Malaysia membuat permohonan interpretasi penghakiman berkenaan kedaulatan ke atas perairan di sekitar Batu Puteh dan Batuan Tengah serta pemilikan ke atas Tubir Selatan, adalah dikhuatiri keputusan mungkin tidak memihak kepada Malaysia.

Maka, adalah lebih baik Malaysia dan Singapura menyelesaikan pertikaian berkaitan pertindihan wilayah ini secara perbicangan bilateral dua negara yang boleh memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

Semua perlu terima hakikat Batu Puteh telah terlepas buat selama-lamanya. Niat untuk menyemak semula kes ini perlulah dibuang jauh-jauh kerana ianya tidak lagi boleh dilakukan. Sekiranya Malaysia ingin membuat permohonan interpretasi penghakiman ke atas keputusan pada tahun 2008, langkah tersebut perlu diteliti dengan tuntas. Kes Kuil Preah Vihear menunjukkan ICJ tegas dengan keputusan yang dihakimi mereka.

Sudah-sudahlah meratapi kedaulatan yang sudah mantan. Seperti yang dianjurkan oleh Islam, keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, Sudah tiba masanya mengetengahkan mereka yang arif dalam menangani isu-isu seperti ini bagi menjamin keutuhan kedaulatan negara.

Nurul Azyani Zafirah Sabaruddin adalah pelajar tahun akhir di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Dr. Fareed Mohd Hassan dan Prof. Madya Dr. Hazmi adalah pensyarah di Fakulti yang sama.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here