KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mengulangi gesaan agar pihak berkuasa menyiasat satu keratan notis tuntutan (LoD) terhadap Datuk Bung Moktar Radin didakwa menerima juta ringgit yang tular di media sosial.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Bung Moktar tidak wajar mengalihkan isu itu, sedangkan G57 hanya menyampaikan kebimbangan awam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis lalu.
“Bung jangan angkuh dan tidak sepatutnya spin isu ini dengan kenyataan kononnya ia sengaja dimainkan mereka yang ‘muflis idea’.
“Isu pemimpin kanan UMNO Sabah menerima komisen berjumlah jutaan ringgit sebenarnya telah mula tular di media sosial sejak seminggu lalu.
“Keratan perenggan tular itu secara jelas menunjukkan pemimpin UMNO Sabah telah menerima komisen berjumlah 10 peratus dan nilai tersebut mencecah RM6 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khamis lalu, G57 membuat laporan kepada ibu pejabat SPRM berhubung penularan keratan LoD yang kongsikan di akaun Facebook Sandakankini.
Menurut keratan perenggan LOD itu, Yang Arif Hakim menolak sejumlah RM9,228,229.12 dari jumlah ganti rugi sebanyak RM60,343,970.88.
Menurut keratan LoD, tuntutan syarikat plaintif itu ditolak susulan projek QEH telah dianugerahkan kepada defendan pertama kerana yuran melobi telah dibayar kepada pelobi, Bung Mokhtar.
Dokumen itu mendedahkan jumlah yang terlibat ialah RM56 juta yang mana 10 peratus disalurkan kepada Bung Moktar, sementara 6 peratus pula kepada pegawai Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, Bung Moktar sepatutnya mengarahkan Ketua Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO membuat satu laporan polis fitnah ke atas warga maya yang menyebarkan keratan pemberian komisen itu.
“Bung Moktar bukannya lari daripada isu ini dan amat menghairankan apabila sehingga ke hari ini, tiada satu pun laporan polis penafian dibuat oleh pimpinan UMNO Sabah,” katanya.
Lebih menjengkelkan apabila UMNO Sabah bersikap berpeluk tubuh dan bertindak kunci mulut apabila keratan pemberian komisen itu tular di media sosial.
“Apabila timbul isu video membabitkan wakil-wakil rakyat GRS berhubung isu perlombongan di Sabah, pimpinan UMNO Sabah segera mendesak Ketua Menteri Sabah meletakkan jawatan.
“Apabila isu keratan perenggan komisen jutaan ringgit membabitkan pemimpin UMNO Sabah terdedah kesemua mereka diam membisu.
“Sebab itu G57 tampil membuat laporan rasmi kepada pihak SPRM agar keratan LoD itu disiasat, sama ada tulen atau sebaliknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette