Oplus_131072

KUALA LUMPUR – Seorang individu bergelar “Datuk Seri” didakwa menyalahgunakan sebuah koperasi berasaskan agro tani untuk memperdaya seorang ahli perniagaan hingga kerugian lebih setengah juta ringgit, tahun lalu.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, koperasi yang beralamat di Bandar Baru Lembah Selatan, Dengkil, Selangor itu menggunakan modus operadi menawarkan dua bidang tanah ladang sawit milik sebuah badan Kerajaan Negeri Pahang untuk dipajak.

“Mangsa telah dijemput dan ditawarkan pajakan ladang sawit memandangkan mangsa menjalankan aktiviti perniagaan memajak dan mengoperasikan ladang sawit.

“Mangsa mempercayai tidak akan ditipu, memandangkan tawaran pajakan ini daripada sebuah koperasi dan bukannya syarikat mahupun tawaran peribadi.

“Tambahan pula ladang sawit berkenaan pula adalah milik sebuah badan Kerajaan Negeri Pahang,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut sumber, ahli perniagaan itu kemudiannya diarahkan suspek yang berusia 63 tahun itu untuk membuat bayaran deposit kira-kira berjumlah RM650,000 ke dalam akaun bank milik sebuah firma guaman lantikan koperasi tersebut.

“Selepas membuat bayaran deposit tersebut, mangsa dijanjikan untuk dibenarkan masuk ke ladang berkenaan dan memulakan kerja-kerja ladang.

“Kesemua tawaran dibuat oleh koperasi berkenaan mempunyai dokumen tawaran dan perjanjian tawaran termasuklah pengesahan pembayaran deposit.

“Selepas bayaran deposit dibuat, mangsa akhirnya mendapati gagal memulakan kerja-kerja ladang dan mendapati beliau telah ditipu,” katanya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan mengenai penipuan itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang pada Ogos lalu.

“PDRM Bahagian Siasatan Jenayah Kormersil telah menjalankan siasatan mendapati ladang sawit yang ditawarkan untuk dipajak oleh koperasi berkenaan, milik sebuah badan Kerajaan Negeri Pahang tersebut telah disahkan tidak wujud.

“Kes telah di siasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber juga berkata, polis kini sedang mengesan suspek yang juga seorang pemimpin politik dari Tanjong Karang, Selangor di beberapa lokasi, namun dipercayai telah menghilangkan diri.

Antara 350 rumah ditawarkan kepada peneroka generasi kedua FELDA dengan harga RM130,000 seunit dikhuatiri salah satu penipuan sebuah koperasi

Sementara itu, belum pun selesai kes tersebut, sumber memberitahu, koperasi yang sama dikesan membuat tawaran pembinaan rumah generasi kedua di sebuah FELDA di selatan Semenanjung.

“Sebanyak 350 rumah ditawarkan kepada peneroka generasi kedua FELDA dengan harga RM130,000 seunit.

“Tawaran pembinaan ini juga amat meragukan dan PDRM disarankan untuk menjalankan siasatan terhadap penipuan itu,” katanya.

Sehubungan itu, kata sumber, pihak berkuasa khususnya PDRM dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia(SKM) perlu peka dan mengambil tanggungjawab berkenaan mana-mana salah laku melibatkan koperasi.

“Ia bagi memastikan keyakinan awam terhadap kewibawaan koperasi di dalam pembangunan negara terpelihara daripada tanggapan buruk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here