Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan mengulangi pendiriannya menyerahkan kepada kebijaksanaan Peguam Negara untuk mengambil langkah seterusnya berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu telahpun diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, Jumaat lalu.

“Jelas sekali perkara ini telah dibawa ke Kabinet, dan kami serahkan kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan selanjutnya,” kepada media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah Kali Ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil berkata Peguam Negara dicadang menyahklasifikasi laporan akhir Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan tiga kawasan berkenaan.

Malah Fahmi berkata, cadangan kepada Peguam Negara supaya laporan itu dinyahklasifikasi diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, RCI yang ditugaskan untuk mengkaji semula pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mencadangkan siasatan jenayah dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

RCI tersebut menyatakan Mahathir  telah menarik balik permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk tafsiran keputusan tanpa merujuk kepada Kabinet pada tahun 2018.

Selain itu, laporan tersebut mendapati Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek memaklumkan kepada Singapura mengenai hasrat Putrajaya untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan tersebut berdasarkan surat bekas Perdana Menteri yang bertarikh 21 Mei 2018.

RCI juga memaklumkan pada 23 Mei tahun itu, Suruhanjaya Tinggi Singapura telah dimaklumkan mengenai hasrat Mahathir pada pukul 9 pagi, kedua-duanya sebelum mesyuarat Kabinet minggu tersebut.

Sebagai tindak balas, Mahathir sekali lagi menafikan tindakan menarik balik permohonan semakan keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Puteh adalah keputusan unilateral.

Pada hari Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat menyatakan usul untuk membahaskan laporan RCI di Dewan Rakyat bukan bertujuan untuk mendakwa mana-mana individu.

Semasa perbahasan, beberapa ahli Parlimen pembangkang menyifatkan laporan itu sebagai bermotifkan politik.

Malah ada juga daripada mereka yang mempersoalkan siasatan secara tertutup dan mendakwa Mahathir tidak diberi peluang yang sewajarnya untuk membela diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here