SHAH ALAM – Pasangan suami isteri kepada bayi yang disimpan selama dua minggu oleh sebuah hospital swasta di Klang diminta tampil ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mendapatkan bantuan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, pihaknya sedang menjejak pasangan tersebut selepas mengetahui perkara itu di media sosial.
Katanya, LZS telah berhubung dengan pihak-pihak yang mengeluarkan maklumat itu namun, setakat ini tiada maklum balas diterima.
“Sekarang ini pasukan kami sedang mencari maklumat di hospital tersebut. Bila kita dah dapat kita akan bantu.
“Kami belum dapat maklumat itu lagi dan kalau dia (pasangan) boleh tampil pun lagi bagus, sebab ia akan mempercepatkan proses ini.
“Jadi, insya Allah kita akan membantu pelaksanaan tersebut ikut kategori-kategori yang layak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan kejadian melibatkan mayat seorang bayi lelaki yang didakwa ditahan selama dua minggu oleh sebuah hospital swasta di Klang.
Beliau berkata, MAIS melalui LZS sedang berusaha mengesan ibu bapa bayi tersebut untuk mendapatkan maklumat sebenar mengenai kejadian itu.
Abdul Aziz menegaskan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Beliau turut menasihatkan umat Islam yang menghadapi kesulitan, terutama melibatkan kecemasan atau kematian, agar segera berjumpa dengan agensi agama terdekat untuk mendapatkan bantuan.
Dalam pada itu, Mohd Sabirin berkata, LZS mempunyai pelbagai bantuan yang boleh diberikan dalam membantu orang ramai terutama golongan asnaf menerusi pelbagai kategori.
Katanya, dalam kes pasangan tersebut, LZS mungkin boleh melihat bantuan dalam bentuk gharimin (orang yang berhutang) dan ia sememangnya ada disediakan terutama di hospital kerajaan.
“Jenis peruntukan yang diberikan adalah mengikut keperluan di pihak hospital dan ada jumlah-jumlah tertentu bergantung kepada keperluan di pihak hospital.
“Kalau keperluannya itu lebih, kita akan keluarkan lebihlah namun, ia berbeza kepada setiap orang yang mendapatkan khidmat dari sesebuah hospital,” ujarnya. – MalaysiaGazette