SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mensasarkan 15,000 asnaf untuk dikeluarkan daripada kelompok tersebut pada tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, jumlah tersebut adalah bagi tempoh tiga tahun bermula 2022 yang melibatkan kategori pembangunan usahawan, kerjaya, kemahiran dan peningkatan pendapatan sendiri.
Lantaran itu katanya, LZS sentiasa mencari ruang dan peluang dalam meningkatkan prestasi golongan tersebut agar kehidupan mereka dapat diperbaiki.
“Secara tahunan, Alhamdulillah LZS dapat mengeluarkan sejumlah 4,000 daripada status kemiskinan.
“Ini adalah langkah-langkah proaktif dalam pembangunan asnaf yang mana ia bukan hanya tertumpu kepada usaha kelangsungan untuk bantuan asasi seperti tempat tinggal, makan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2024, hari ini.
Seramai 39 individu menerima anugerah masing-masing termasuk 23 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan institut pengajian tinggi (IPT) yang disempurnakan Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang.
Dalam pada itu, Mohd. Sabirin menjelaskan, berdasarkan rekod kira-kira 200 asnaf mendapat pekerjaan setiap tahun yang dilaksanakan oleh Divisyen Pembangunan Insani.
Selain itu, beliau berkata, seramai 2,000 penerima bantuan pendidikan mendapat keputusan 5A ke atas dalam SPM dengan 7,000 asnaf berada di IPT.
“Untuk makluman LZS kini menyantuni hampir 74,000 keluarga asnaf fakir dan miskin, serta lebih 4,000 individu mualaf di Selangor dan angka ini dijangka terus meningkat mencecah 157,000 buah keluarga.
“Justeru, kita menyasarkan 12,000 keluarga asnaf setiap tahun untuk dibantu,” katanya.
Penerima Ikon Mualaf 2024, Shamala Nair, 36, mengakui, bantuan yang diberikan LZS sangat membantu dirinya untuk membayar sewa rumah dan sara hidup termasuk biasiswa yang diterima sehingga peringkat sarjana.
“Empat tahun pertama saya masuk Islam secara senyap-senyap dan ia bukan mudah. Namun LZS banyak membantu. Kini, saya bersama suami mengusahakan syarikat pembekalan peralatan di hospital kerajaan dan swasta.
“Anugerah ini bukan untuk saya tetapi semua mualaf di luar sana dengan kita harus sentiasa teguh keimanan dan sabar serta yakin terhadap rezeki yang akan diberikan Allah,” katanya. – MalaysiaGazette