SEOUL- Dewan Negara Korea Selatan meluluskan usul untuk mendakwa Presiden Yoon Suk yeol hari ini dengan 204 undi setuju berbanding 85 yang menolak.
Susulan itu, kuasa presiden dan tugas rasmi Suk yeol akan digantung selepas salinan dokumen berhubung pendakwaan terhadap beliau diserahkan kepadanya dan Mahkamah Perlembagaan.
Parlimen Korea Selatan mula mengundi bagi usul pendakwaan buat kali kedua terhadap Presidennya, Yoon Suk yeol susulan perintah pelaksanaan undang-undang tentera.
Kali ini, parti dianggotai beliau, People Power Party memutuskan untuk turut serta dalam pengundian selepas memboikot usul tersebut pada kali pertama dibentangkan.
Mahkamah mempunyai sehingga 180 hari bagi menentukan sama ada untuk melucutkan kuasa Suk yeol atau mengembalikan semula jawatannya sebagai Presiden Korea Selatan.
Sekiranya dilucutkan jawatan, pilihan raya umum bagi memilih pengganti beliau perlu dilakukan dalam tempoh 60 hari.
Terdahulu, ahli-ahli Parlimen Korea Selatan mengundi buat kali kedua usul untuk mendakwa Presiden negara itu, hari ini.
Kali ini, parti yang dianggotai beliau, People Power Party turut sama dalam pengundian selepas memboikot usul berkenaan semasa kali pertama dibentangkan. -Agensi