JOHOR BAHRU – Seorang remisier berputih mata selepas rugi hampir RM1.6 juta akibat terperdaya dengan iklan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun, semalam, mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan saham secara dalam talian.
“Menurut mangsa yang merupakan warga tempatan, pada Oktober lalu, dia terlihat iklan pelaburan dalan laman sosial yang mengiklankan berkaitan pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan.
“Tertarik dengan iklan itu, mangsa menekan pautan yang diberikan bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut yang mana mangsa telah ditawarkan keuntungan sehingga 40 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat hanya dalam tempoh sepuluh minit.
“Percaya dengan keuntungan segera yang dijanjikan, antara November hingga awal Disember ini, mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM1,635,000 ke beberapa akaun banka yang diarahkan suspek,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.
Beliau berkata, mangsa juga telah mengikut arahan suspek dengan memuat turun aplikasi yang diarahkan serta mendaftar akaun di aplikasi berkenaan bagi memantau
pelaburannya.
Katanya, selepas bayaran dibuat, mangsa melihat status pelaburannya dalam aplikasi yang diberikan telah mencatatkan keuntungan.
“Mangsa mahu mengeluarkan wang keuntungan yang diperolehi, namun mangsa hanya menerima RM44,200 sahaja dan selepas itu, suspek gagal dihubungi dan akses mangsa ke aplikasi berkenaan telah disekat.
“Mangsa percaya telah ditipu dan telah membuat laporan polis dengan kerugian RM1,590,800,” katanya.
Menurut Kumar, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.
Pada masa sama, beliau menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang dilihat dalam media sosial dan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan menarik.
“Harus diingat bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa penipuan tanpa mengira status dan kerjaya seseorang.
“Oleh itu, orang ramai disarankan untuk lebih berhati-hati dan membuat semakan di laman dalam talian yang disediakan pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut berkenaan pelaburan yang ingin disertai,” tegasnya.- MalaysiaGazette