Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

KUALA LUMPUR – Sindiket membawa masuk warga Bangladesh yang mencari pekerjaan di Malaysia menerusi pintu udara berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga lokasi di Cheras, dalam operasi pada jam 9.11 malam, Rabu lalu.

Pekerja yang dibawa masuk sebagai pelancong itu ditempatkan di rumah transit dan menjerat setiap mangsa dengan bayaran sehingga RM20,000.

Itu modus operandi sindiket pemerdagangan tiga lelaki warga Bangladesh yang ditahan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tiga lelaki Bangladesh berusia 35 hingga 38 tahun itu dipercayai dalang utama ditahan dengan seorang wanita senegara, 32, dipercayai pasangan salah seorang daripada mereka.

“Kami telah menyelamatkan 11 lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai sebagai mangsa eksploitasi berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun yang diperdagangkan untuk mendapatkan keuntungan.

“Kami turut merampas 17 pasport Bangladesh, 20 unit telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM800 dan AS$800, dua buah kenderaan jenis Proton Gen 2 dan Proton X70,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sindiket itu telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan membawa warga senegaranya yang ingin mencari pekerjaan di negara ini sebagai pelancong melalui pintu masuk udara.

“Semua urusan pasport, visa dan tiket penerbangan mangsa akan diuruskan sindiket dan kadar bayaran dikenakan adalah RM15,000 untuk setiap orang dan tambahan RM5,000 seorang untuk mangsa keluar dari rumah transit itu,” jelansya.

Zakaria berkata, tiga lelaki Bangladesh ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007 dan wanita terbabit ditahan dibawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here