BAYAN LEPAS – Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Skuad Banteras menggesa pihak berkuasa menghalang kira-kira 30 rakyat negara ini yang akan berlepas ke Kemboja esok dipercayai terpedaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja.
Ketua Skuad Banteras, Wong Kin Wai berkata, pihaknya mendapat maklumat kesemua mangsa berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu yang akan berlepas ke negara terbabit melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jelasnya, berdasarkan maklumat diterima rata-rata mangsa berasal dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu diperdaya sindiket yang didalangi warga Taiwan dengan menawarkan gaji mencecah RM30,000.
“Kita telah buat laporan polis untuk membolehkan pihak polis serta imigresen mengambil tindakan dengan menghalang kesemua mangsa yang dikenal pasti itu daripada berlepas dari KLIA esok.
“Kita harap dengan tindakan ini dapat memastikan rakyat di negara ini tidak menjadi mangsa pemerdagangan manusia atau didera sindiket bagi melaksanakan kegiatan jenayah mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Kin Wai turut menggesa kerajaan khususnya Jabatan Imigresen melancarkan ‘red alert’ bagi memantau penerbangan rakyat tempatan ke Kemboja.
“Kita juga menggesa supaya undang-undang dan syarat kebenaran visa jangka panjang kepada rakyat Malaysia yang ingin ke Kemboja diperketatkan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan taktik sindiket yang menawarkan pekerjaan bergaji lumayan di luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette