JOHOR BAHRU – Polis menahan 122 individu atas pelbagai kesalahan selepas melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan yang didapati beroperasi melebihi masa, di sini, kelmarin.
Operasi khas pusat hiburan di Johor Bahru itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Johor Bahru Selatan pada pukul 2.30 pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, dalam serbuan itu, polis membuat pemeriksaan terhadap 211 individu yang sedang berhibur dalam premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan yang sah, namun didapati telah beroperasi melebihi masa yang ditetapkan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seramai 63 lelaki tempatan, empat wanita tempatan dan 11 wanita warga asing semuanya berusia antara 18 hingga 40 tahun, positif methamphetamine, THC, ketamin dan benzo,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam premis itu turut menjumpai 2.07 gram dadah disyaki ketamin, sebelum polis menahan empat lelaki tempatan serta empat wanita warga asing dalam dua bilik berasingan di premis itu.
Pihaknya turut menahan 35 warga asing untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan seorang individu yang menjadi juruwang dalam pusat hiburan itu mengikut Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98.
“Kita turut merampas empat resit perniagaan dalam serbuan itu,” tambahnya.
Kumar berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952; Seksyen 11(2) ENJ 4/98; Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63.
Katanya, lapan tangkapan direman selama empat hari bermula semalam hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, manakala 70 tangkapan direman dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – MalaysiaGazette