Datuk Azmi Kamaruzaman menyampaikan sijil kepada peserta sempana Majlis Penutupan Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Institusi Pengajian Tinggi Zon Timur Tahun 2024 di Auditorium Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah hari ini

KUANTAN – Dua puluh lapan syarikat di seluruh negara telah mengambil bahagian menjadi rakan penyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), setakat ini.

Terbaharu, menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman adalah Bank Pembangunan Malaysia Berhad.

“Bank Pembangunan Malaysia Berhad adalah syarikat ke 28 dan merupakan institusi kewangan atau perbankan pertama yang mengambil peluang ini dengan memilih pelajar Institusi Pengajian Tinggi sebagai kumpulan sasar.

“Terima kasih atas kesudian menyahut cabaran dan mengambil bahagian dalam usaha menye marakkan budaya integriti serta benci rasuah dalam kalangan masyarakat melalui program potongan cukai,” katanya.

Jelasnya pelaksanaan program yang dijalankan membolehkan institusi kewangan itu mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang mengeluarkan perbelanjaan ke atas program integriti dan antirasuah.

Ujarnya insentif pelepasan cukai itu dapat menggalakkan lebih banyak syarikat atau organisasi korporat bekerjasama dengan SPRM melaksanakan program pencegahan dan pendidikan rasuah.

Tambahnya berdasarkan peruntukan itu juga, syarikat atau penyumbang layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.

Justeru SPRM berharap selepas ini lebih banyak syarikat atau organisasi tampil untuk menganjurkan program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

”Perkara ini adalah sumbangan penting sektor korporat kepada usaha membudayakan integriti dan benci  rasuah dalam kalangan masyarakat kita.

”Kebersamaan semua pihak ini sangat dituntut bagi menonjolkan usaha memerangi rasuah adalah tanggungjawab semua pihak dan bukan tertakluk kepada tugas eksklusif SPRM semata-mata,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Penutupan Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Institusi Pengajian Tinggi Zon Timur Tahun 2024 di Auditorium Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah.

Pada majlis itu seramai 88 peserta kem yang telah berjaya menjalani dan menamatkan program dengan jayanya.

Program diadakan bagi memeriahkan lagi bulan sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Tahun 2024 yang baharu sahaja diraikan di Peringkat Kebangsaan pada 9 Disember 2024 yang lalu bertemakan ‘Uniting With Youth Against Corruption: Shaping Tommorrow’s Integrity’.  – MalaysiaGazatte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here