KUALA LUMPUR – Sebanyak 376 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Khas Tindakan Halangan dan Operasi Motosikal di sekitar kawasan Bukit Bintang, di sini, selama dua hari di sini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, operası bermula jam 10 malam hingga 1 pagi tadi membabitkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kata beliau, tinjauan operasi mendapati masih lagi terdapat pemandu yang degil dan menghalang lalu lintas walaupun operasi sama dilakukan pada hari sebelumnya.
“Lokasi tumpuan masih lagi di lokasi sama iaitu di Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Ceylon, Jalan Changkat, Jalan Berangan, Jalan Walter Granier dan Jalan Tengkat Tungshin.
“PDRM mengeluarkan sebanyak 119 saman ke atas pemandu yang melakukan kesalahan halangan, manakala bagi Op Motosikal pula sebanyak 76 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.
“Antaranya 12 saman tiada lesen memandu, 11 saman lesen tamat tempoh dan lapan saman untuk kesalahan tiada cermin sisi,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Menurut Azry Akmar, sebanyak 15 saman dikeluarkan kerana kesalahan nombor plat tidak mengikut peraturan, sembilan saman akibat tidak mempamerkan L/P, lima saman bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, 12 saman untuk tiada nombor pendaftaran dan empat saman akibat tidak mengikat kemas topi keledar.
Sementara itu, beliau memberitahu, JPJ mengeluarkan 60 saman manakala 121 saman dikeluarkan oleh DBKL atas pelbagai kesalahan selain enam kenderaan ditunda membabitkan dua kenderaan PDRM, manakala empat lagi dilakukan DBKL. – MalaysiaGazette