ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang wanita penghantar barang selepas dipercayai mencuri bungkusan (parcel) milik seorang penghuni di sebuah apartment di bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada 12 Disember lalu daripada seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.
“Lelaki tersebut melaporkan telah berlaku kecurian bungkusan barang milik penduduk sebuah apartmen di kawasan Iskandar Puteri.
“Suspek merupakan seorang wanita warga tempatan berumur 38 tahun bekerja sebagai penghantar barang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Balai Polis Iskandar Puteri ke tempat kejadian dan menangkap suspek.
“Pihak polis merampas barang-barnag seperti dua botol micellar cleansing water, satu kotak tisu basah jenama Avocado Plant Extract Wipes dan dua kotak losyen jemana Anjo. Nilai barangan tersebut berjumlah RM37,” katanya.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Hasil saringan air kencing katanya, mendapatinya negatif sebarang jenis dadah.
Suspek katanya, ditahan reman selama lima hari bermula 12 Disember sehingga esok.
Kumarasan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun dan denda.
Pihaknya mengucapkan terima kasih atas maklumat yang disalurkan orang awam sehingga suspek berjaya ditangkap.
“Kerjasama dengan masyarakat amat dialu-alukan dan pihak polis akan terus komited bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awak terperlihara,” ujarnya.
Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah katanya, boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri 07-5113622 @hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette