MELAKA – Bangunan bekas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berusia 100 tahun di Banda Hilir bakal berubah wajah sebagai Kompleks Muzium Polis Melaka, sekali gus menjadi destinasi pelancongan baharu Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia akan melibatkan kerjasama antara Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, termasuk sumbangan artifak dan bahan pamerannya.
Menurutnya, bangunan bekas pentadbiran British yang dibina pada 1924 itu pada asalnya adalah pejabat pentadbiran penjajah Inggeris dikenali sebagai ‘Malacca Volunteer Drill Hall’ bagi pasukan The Straits Settlement Volunteer Force sehingga 1948.
“Kita rancang untuk jadikan bangunan ini sebagai Muzium Polis Melaka dan kita akan cuba mohon supaya ianya dapat direalisasikan tidak lama lagi.
“Setakat ini belum ada keputusan dimuktamadkan sehingga kedua-dua pihak bersetuju menjadikan bangunan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) barulah kita boleh jangka bila ia (muzium) ini akan dibuka,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Penutupan IPD Melaka Tengah dan Program Community Policing, di sini, semalam yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Pada program itu turut diadakan acara penurunan Jalur Gemilang diikuti bendera Melaka dan PDRM sebagai simbolik penutupan dan perpindahan IPD Melaka Tengah ke lokasi baharunya di Batu Berendam, di sini, sejak September lalu.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, PERZIM juga sedang melaksanakan laporan kajian kerosakan dan penyediaan pelan untuk pemuliharaan bangunan berkenaan.
Sebelum ini, wujud dakwaan dakwaan kononnya bangunan lama IPD berkenaan akan dijual kepada tauke Cina. – MalaysiaGazette