ISKANDAR PUTERI – Bunyi cermin pecah dari tingkap depan rumah menyelamatkan seorang wanita daripada disamun dua lelaki dalam kejadian di Taman Daman Jaya, Skudai di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, wanita tempatan berusia 42 tahun itu tersedar daripada tidur pada pukul 4 pagi selepas terdengar bunyi tersebut.
“Wanita berkenaan kemudian menghubungi polis dan pada pukul 4.30 pagi sepasukan anggota dari Balai Polis Nusa Bestari dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri ke tempat kejadian.
“Pihak polis berjaya menangkap dua lelaki warga tempatan berusia 22 dan 24 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala hasil saringan air kening mereka negatif dadah.
Menurut Kumarasan, kedua-dua suspek ditahan reman selama sembilan hari bermula 12 hingga 20 Disember ini.
Kes katanya, disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan rumah bagi tujuan mencuri, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan dikenakan sebat atau denda.
Pihaknya mengucapkan terima kasih atas maklumat yang disalurkan orang awam sehingga suspek berjaya ditangkap.
Tambah beliau, polis amat dialu-alukan kerjasama orang ramai dan sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri 07-5113622 @hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette