KULAI – Pasaraya Econsave menyumbang 30 tan makanan kering dan pakaian untuk mangsa banjir terutama di negeri-negeri pantai timur yang teruk terjejas bulan lalu.
Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, itu adalah hasil sumbangan orang ramai dan pasar raya tersebut dalam bentuk program bakul makanan yang dihantar sejak minggu lalu.
“Hasil sumbangan yang diadakan di semua cawangan Econsave di wilayah selatan negara ini berjaya mengumpulkan 20 tan makanan kering dan 10 tan pakaian untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.
“Program bakul makanan yang diadakan di semua cawangan Econsave di Melaka, Negeri Sembilan dan negeri ini mendapat sambutan menggalakkan, ramai pelanggan yang berbelanja di pasar raya dalam masa sama menyumbang kepada mangsa banjir.
“Dalam tempoh singkat ini, kita berjaya kumpul 30 tan makanan kering dan pakaian yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000,” katanya ketika ditemui pemberita di Econsave Senai, di sini, semalam.
Sebelum ini, Econsave menyalurkan sumbangan berupa pakaian sebanyak lima tan ke negeri pantai timur yang terjejas banjir.
Beliau berkata, antara barangan yang disumbangkan seperti beras, bihun, susu bayi, sardin, pakaian, tuala wanita dan pelbagai barangan keperluan yang lain.
Tambahnya, semua barangan tersebut akan dikumpulkan di beberapa lokasi antaranya di Tumpat dan Kubang Kerian, Kelantan serta Kuala Terengganu, Terengganu.
Bagi memastikan pembahagian bantuan berjalan lancar, katanya, pihaknya berkolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mycare yang telah mengenal pasti jumlah penerima yang layak terima bantuan.
“Kita bukan sahaja menghantar barangan sumbangan itu malah mempunyai pasukan yang akan berada di sana bagi membantu mangsa banjir bagi membersih rumah.
“Program bakul makanan ini dilakukan di seluruh negara, selepas ini ada lagi sumbangan yang dikumpulkan di Selangor dan negeri lain untuk diagihkan kepada penerima,” ujarnya.
Pihaknya akan memantau perkembangan situasi banjir di negara ini dan sentiasa bersedia untuk melakukan program tanggungjawab sosial korporat bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana alam itu. – MalaysiaGazette