PASIR GUDANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah menganjurkan 969 Program Jualan Rahmah (PJR) di Johor dengan hasil jualan lebih RM50 juta.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, program yang diadakan di lokasi strategik di 10 daerah itu turut menyaksikan pemberian subsidi berjumlah RM10 juta bagi menampung kos perbelanjaan rakyat di negeri ini.
“Pada bulan ini, kita akan adakan PJR ini sempena sambutan hari Natal dan Tahun Baru 2025. Pelaksanaan program ini bermula pada 13 hingga 31 Disember merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk memperluaskan Agenda Payung Rahmah Madani.
“PJR kali akan melibatkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga sehingga 30 peratus. Pelaksanaan PJR ini antara lain bertujuan membantu meringankan kos sara hidup rakyat bagi membeli barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Walkabout PJR di Kipmall Masai, di sini hari ini.
PJR sempena hari natal dan tahun baru itu turut diadakan di Dewan Serbaguna Pekan Jabi, Segamat pada 19 Disember ini diikuti di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi dan Target Supermarket Parit Raja, Batu Pahat (21 Disember) dan Pasaraya Target Sri Kluang, Kluang (24 Disember).
PJR turut diadakan di Dewan Muafakat Taman Saujana, Pontian (25 Disember) diikuti Tunas Manja Mersing Supermarket, Mersing (28 Disember) dam Kompleks Penghulu Sungai Abong, Muar (31 Disember).
Lilis Saslinda berkata, bersempena program itu, pihaknya turut membawakan vendor yang menawarkan set Menu Rahmah untuk pengunjung sebagai satu pilihan menu pada harga RM5 ke bawah selain mengetengahkan usahawan tempatan yang menawarkan produk makanan dan minuman.
Katanya, selain program outdoor ini, PJR yang dilakukan secara indoor dan bergerak masih berjalan sehingga hujung tahun ini dan orang ramai boleh mengetahui lokasi yang terpilih di laman media sosial KPDN Johor.
“Kita mahu beri peluang kepada masyarakat setempat untuk membeli belah barangan keperluan asas pada harga yang rendah termasuk mendapat barangan kawalan berjadual seperti minyak masak peket. Justeru, jalan lepaskan peluang untuk menikmati potongan harga yang menarik ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette