KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu-isu yang mengancam kesejahteraan dan keharmonian negara terutamanya dalam tangani segelintir individu gemar menghina agama lain.
Menurut Presiden Majlis Kuil-Kuil dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk Sivakumar Nadarajah, ancaman sebegini bukan sahaja menggugat keharmonian masyarakat tetapi turut mencabar nilai perpaduan yang telah lama terbina dalam kalangan masyarakat majmuk sejak merdeka lagi.
Kata beliau, jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswati baru-baru ini bahawa undang-undang sedia ada sudah mencukupi serta tegas bagi menangani individu atau kumpulan sebenarnya tidak boleh diterima sama sekali.
“Jika tegas mengapa masih ramai lagi begitu terbuka menghina agama lain? Saban hari kita diperdengarkan dengan berita bagaimana individu suka hina, mempersendakan agama lain terus jadi perhatian. Tetapi tindakan terhadap mereka kabur, tidak menyeluruh sehingga mereka ulang banyak lagi.
“Jadi bagaimana ini jadi efektif? Sedarkah kerajaan tindak tanduk segelintir terutamanya golongan bergelar pemimpin atau pendakwah agama ini menimbulkan rasa tidak harmoni pada setiap masa?,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sivakumar melontarkan cadangan supaya Kementerian Perpaduan tidak hanya bergantung kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetapi turut merangka garis panduan yang jelas dan mekanisme untuk menerima aduan daripada rakyat.
“Mekanisme ini perlu merangkumi cara membuat aduan, menilai tahap serius isu, serta tindakan susulan termasuk penguatkuasaan undang-undang, kaunseling atau program pendidikan kesedaran.
“Kita mohon supaya kementerian melancarkan pelan tindakan khusus yang melibatkan pendidikan antara agama, kolaborasi dengan agensi berkaitan, serta pemantauan kandungan media sosial ekstrem.
“Hormat menghormati agama lain adalah asas kepada perpaduan nasional. Kementerian Perpaduan perlu pikul tanggungjawab besar memastikan keharmonian terus terpelihara. Dengan perpaduan yang kukuh dan kepimpinan bijaksana, Malaysia Madani yang kita impikan dapat direalisasikan,” tegasnya. -MalaysiaGazette