BAITULMAQDIS – Israel didakwa sengaja mengebom berulang kali lokasi tahanan ditahan.
Jurucakap gerakan al-Qassam Abu Ubaidah berkata, risikan pejuangnya mendapati pihak musuh sengaja menyasarkan lokasi itu yang bertujuan membunuh tahanan Israel.
“Baru-baru ini tentera penceroboh menyasarkan satu lokasi di mana beberapa tahanan musuh ditahan, (Israel) mengebom berulang kali bagi memastikan mereka (tahanan) mati,” katanya menerusi aplikasi Telegram.
Menurut jurucakap itu, Briged al-Qassam telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang masih hidup.
Bagaimanapun tambah beliau, hanya seorang tahanan Israel yang berjaya dikeluarkan dan takdirnya masih tidak diketahui.
Beberapa ketika selepas Abu Ubaidah melakukan hantaran itu, Briged al-Qassam menyiarkan rakaman video dengan kapsyen: “Netanyahu dan Halevi sedang berusaha menghapuskan tahanan di Gaza dengan apa juga cara’.
Rakaman tersebut memaparkan seorang tahanan Israel berlumuran darah di badannya bergelut untuk bergerak dalam runtuhan yang mungkin disebabkan pengeboman seperti yang dinyatakan Abu Ubaidah.
“Saya sedang menuju kematian sedikit demi sedikit,” menurut tahanan Israel itu dalam rakaman video pada 7 Disember lalu yang disiarkan kumpulan Hamas menunjukkan seorang tahanan di Gaza mahu Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mewujudkan perjanjian tahanan dengan segera.
Selepas video itu disiarkan, Matan Zangauker yang ditahan di Gaza selama 420 hari yang mana keadaan kesihatannya semakin merosot khuatir tentang keadaan rakannya itu ketika Israel terus melakukan genosid di Jalur Gaza.
Beliau menuduh Netanyahu dan kerajaannya mengabaikan tahanan dan mendatangkan risiko kepada mereka.
Media Israel melaporkan Hamas menyiarkan video tersebut selepas Israel merancang untuk membatalkan sebahagian daripada perjanjian yang menyaksikan tahanan termasuk anggota tenteranya ditinggalkan.
Pada bulan lalu, Briged al-Qassam mengumumkan kematian seorang tahanan Israel yang ditahan di utara Gaza.
Abu Ubaidah mengesahkan kematian tahanan itu akibat pengeboman Israel dan beliau memberi amaran kepada pemimpin Israel berhubung nasib tahanan ketika aktiviti pencerobohan itu dilakukan.
“Pihak musuh perlu bersedia untuk berhadapan dilema kehilangan tubuh tahanan yang mati,” katanya yang merujuk kepada kemusnahan besar disebabkan pencerobohan Israel dan tahanan Palestin yang maut.
Abu Ubaidah yang menyatakan komunikasi telah disambung semula dengan pejuang briged al-Qassam dan mereka ditugaskan untuk melindungi tahanan, namun mendedahkan seorang tahanan wanita terbunuh di lokasi pencerobohan rejim Zionis manakala tahanan lain berhadapan dengan keadaan berbahaya. – Agensi