Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkait tuduhan rasuah berhubung Visa Luar Negara (VLN) satu lagi episod hitam dalam sistem keadilan negara.

Sambil menyifatkan keputusan itu mengecewakan rakyat, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia juga mencetuskan persoalan besar mengenai prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang di negara ini.

Dalam masa sama, menurut beliau, keputusan itu juga mencerminkan seolah-olah wujud dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang.

“Jika seorang pemimpin tinggi negara boleh dilepaskan tanpa perbicaraan penuh, mengapa rakyat biasa perlu menjalani proses perundangan yang ketat?

“Perkara ini mencalarkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara dan menggugat prinsip Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Tambah Ahmad Fadhli, lebih mengejutkan, ini adalah episod kedua melibatkan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO selepas pengguguran 47 pertuduhan kes Yayasan Akalbudi.

Tegasnya, penarikan rayuan itu juga boleh mencipta duluan berbahaya yang boleh digunakan oleh pihak lain pada masa depan.

Sehubungan itu, jelas beliau, Peguam Negara dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi penjelasan sama ada keputusan terbabit dibuat secara bebas atau dipengaruhi oleh pihak tertentu.

“Rakyat berhak tahu sebab rayuan ini ditarik balik dan siapa yang bertanggungjawab. Tanpa jawapan yang jelas, integriti sistem keadilan akan terus dipersoalkan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli turut menempelak parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang nampaknya sedang membisu dalam kes itu.

Dalam nada sinis, kata beliau, semua pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan sedang enak mengira untung di atas kerusi empuk Kabinet dengan melupakan slogan reformasi yang dilaungkan selama ini.

“Keputusan ini turut menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Malaysia sebelum ini tegas dalam usaha membanteras rasuah, tetapi tindakan ini memberi gambaran sebaliknya. Dunia sedang memerhati,” katanya.

Tambahnya, rakyat tidak seharusnya diperkecilkan dengan alasan “tidak tahu” atau “tidak terlibat” daripada pihak kerajaan berhubung kes melibatkan Ahmad Zahid tersebut.

Ujar beliau, sekiranya kerajaan benar-benar komited terhadap kedaulatan undang-undang dan prinsip Kerajaan MADANI, maka ketelusan mesti ditegakkan.

“Rakyat menuntut keadilan yang sama rata tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

“Keadilan bukan sekadar untuk dilihat ditegakkan, tetapi mesti dirasai oleh rakyat.

“Jika rakyat biasa perlu melalui proses perbicaraan penuh, maka pemimpin negara juga harus menerima layanan yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here