KUALA LUMPUR – Kerajaan mempelawa mana-mana penganjur sukan elektronik (e-Sukan) antarabangsa memilih Malaysia sebagai tuan rumah kepada penganjuran sukan itu pada masa depan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Malaysia akan menjadi tuan rumah terbaik kepada sebarang penganjuran sukan tersebut.
“Seperti kita tahu, M6 (Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang) tahun ini, Malaysia adalah penganjurnya.
“Jadi, kami mahu menawarkan juga kepada penganjur (antarabangsa) untuk memilih Malaysia sebagai tuan rumah (host) (pada masa depan).
“Insya-Allah, kita akan jadi host (tuan rumah) terbaik kepada sebarang penganjuran sukan e-Sport,” katanya dalam ucapan ringkas ketika merasmikan Kejohanan Dunia MLBB M6 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap lebih banyak peruntukan disediakan bagi pembangunan sukan e-Sukan pada tahun-tahun akan datang.
“(Ketika ini) kerajaan Malaysia menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta dan ini hanya permulaan, saya harap tahun-tahun akan datang bajet akan digandakan dan diberikan lebih banyak, insya-Allah,” katanya.
Saingan M6 kali ini menjadi tumpuan peminat e-Sukan tempatan selepas menampilkan pasukan terbaik dari seluruh dunia untuk merebut hadiah wang tunai terkumpul sebanyak AS$1 juta (RM4.45 juta).
Bagaimanapun, wakil tunggal negara, Selangor Red Giants gagal mencipta sejarah selepas tewas 0-3 kepada jaguh Indonesia, Team Liquid, semalam. – MalaysiaGazette