Gambar hiasan

SUBSIDI secara pukal bagi petrol RON95 telah menjadi isu utama kerana perbelanjaan besar yang mencecah RM81 bilion pada tahun 2023.

Sebagai langkah mengurangkan beban fiskal negara, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan melalui Belanjawan 2025 bahawa golongan T15 atau mahakaya bakal dikenakan harga pasaran semasa bagi petrol RON95. Manakala 85% daripada rakyat akan terus menikmati harga subsidi RM2.05 per liter.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli kemudiannya menjelaskan bahawa pengelasan subsidi ini akan didasarkan pada pendapatan bersih isi rumah berbanding pendapatan kasar bagi memastikan pengagihan yang lebih tepat.

Kendatipun begitu, usaha ini harus dilaksanakan dengan berhati-hati umpama ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserak’ agar tiada pihak yang teraniaya.

Rentetan cadangan untuk menetapkan ambang pendapatan RM13,000 sebagai syarat kelayakan subsidi telah menimbulkan kebimbangan yang signifikan, khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, di mana kos sara hidup jauh lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.

Perbezaan ketara dalam kos perumahan, pengangkutan, pendidikan, dan barangan asas menyebabkan pendapatan isi rumah yang sama tidak memberikan kuasa beli yang setara di antara bandar dan luar bandar. Alhasil, keluarga bandar menghadapi cabaran kewangan yang lebih besar untuk menampung keperluan asas harian.

Sebagai contoh, sebuah keluarga di Kuala Lumpur mungkin perlu memperuntuk sebahagian besar pendapatan mereka untuk perumahan, yang biasanya berkali ganda lebih mahal ketimbang keluarga di kawasan luar bandar.

Selain itu, mereka turut dibebani kos penjagaan anak, pendidikan, dan perkhidmatan kesihatan yang lebih tinggi. Walaupun pendapatan mereka tampak setanding dengan keluarga di luar bandar, hakikatnya, kemampuan mereka untuk menabung, berbelanja, atau bahkan menampung keperluan harian adalah jauh lebih terhad.

Di bawah sistem semasa, penetapan ambang pendapatan yang sama tanpa mengambil kira perbezaan kos sara hidup ini berisiko bakal menyebabkan keluarga bandar yang sudah sedia tertekan asbab kehilangan akses kepada subsidi yang sangat diperlukan.

Langkah ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan beban kewangan, tetapi juga boleh mempertingkat kesenjangan di antara isi rumah di bandar dan luar bandar. Perubahan ini memerlukan perhitungan semula agar lebih adil dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Fasa Pengurangan Bertahap Berbanding Pemotongan Mendadak

Isu utama dengan penetapan ambang RM13,000 adalah kesan pemotongan mendadak, di mana kenaikan pendapatan kecil sekalipun boleh menyebabkan sesebuah keluarga kehilangan subsidi sepenuhnya. Sistem seperti ini meletakkan beban yang tidak seimbang kepada mereka yang melebihi ambang pendapatan waima sedikit kerana mereka terpaksa menanggung kos yang sama seperti golongan berpendapatan tinggi meskipun tidak memiliki kemampuan kewangan yang setara.

Justeru, penyelesaian yang lebih praktikal adalah melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat. Melalui pendekatan ini, jumlah subsidi dikurangkan secara beransur-ansur selaras dengan peningkatan pendapatan dalam memastikan bantuan tidak dihentikan secara drastik.

Sebagai contoh, isi rumah dengan pendapatan antara RM12,000 hingga RM15,000 masih layak menerima subsidi separa. Langkah sebegini membolehkan peralihan yang lebih lancar, sekali gus mengurangkan risiko kejutan kewangan kepada keluarga yang terlibat.

Mengambil Kira Saiz Keluarga dan Tanggungan

Selain itu, cadangan semasa juga mengabaikan faktor saiz keluarga, yang memainkan peranan penting dalam menentukan kos sara hidup. Isi rumah dengan bilangan tanggungan yang lebih ramai pastinya berdepan beban kewangan yang lebih tinggi berbanding isi rumah yang lebih kecil.

Namun, ambang pendapatan yang ditetapkan tidak mengambil kira perbezaan ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keadilan dalam pelaksanaan subsidi.

Sebagai contoh, individu bujang dengan pendapatan RM13,000 mempunyai lebihan pendapatan boleh guna yang jauh lebih besar berbanding sebuah keluarga dengan empat orang tanggungan yang mungkin perlu menanggung perbelanjaan tambahan, seperti kos rawatan kesihatan anak-anak.

Namun, kedua-dua kategori ini tetap tidak layak menerima subsidi sekiranya pendapatan mereka melebihi RM13,000, tanpa mengambil kira perbezaan keperluan sebenar antara mereka.

Bagi memastikan sistem subsidi lebih adil dan bersasar, ambang pendapatan perlu dirangka berdasarkan saiz isi rumah. Keluarga dengan lebih ramai tanggungan wajar diberikan had pendapatan yang lebih tinggi untuk melayakkan mereka menerima subsidi, sejajar dengan beban kewangan tambahan yang terpaksa mereka tanggung.

Langkah ini bukan sahaja lebih inklusif, tetapi juga mampu menangani isu ketidaksamaan dalam akses kepada bantuan.

Menggunakan Data Pendapatan Masa Nyata untuk Pelarasan Dinamik

Akhir sekali, kerajaan wajar mempertimbangkan penggunaan data pendapatan masa nyata untuk memastikan sistem subsidi lebih fleksibel dan responsif terhadap perubahan kewangan isi rumah.

Penetapan ambang pendapatan statik seperti RM13,000 tidak mengambil kira turun naik pendapatan yang mungkin berlaku akibat pengangguran, krisis kesihatan, atau kesulitan kewangan lain. Keadaan ini berisiko menyebabkan keluarga terlepas daripada bantuan pada saat mereka paling memerlukannya.

Dengan memanfaatkan data pendapatan masa nyata, kerajaan boleh menyesuaikan kelayakan subsidi berdasarkan keadaan kewangan semasa isi rumah. Sebagai contoh, integrasi sistem subsidi dengan platform MyKad dapat menyediakan penilaian pendapatan yang lebih tepat dan terkini, memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Pendekatan ini telah terbukti berkesan melalui sistem Aadhaar di India, yang menggunakan teknologi digital untuk menyampaikan bantuan secara lebih efisien. Malaysia, dengan infrastruktur digital seperti MyKad, berada dalam kedudukan yang baik untuk melaksanakan sistem serupa yang mampu meningkatkan keberkesanan dan ketelusan agihan subsidi.

Seruan untuk Tindakan dalam Pembaharuan Subsidi yang Lebih Adil

 Apabila Malaysia memperkenalkan sistem harga dua tahap bagi RON95, adalah penting untuk menilai semula dan menyesuaikan ambang pendapatan RM13,000 agar mencerminkan realiti dan bebanan kewangan isi rumah yang berbeza-beza. Langkah ini boleh disokong dengan pendekatan seperti pengurangan subsidi secara bertahap, penyesuaian mengikut saiz keluarga, dan penggunaan data masa nyata untuk memastikan ketepatan dalam pelaksanaan.

Matlamat utama adalah memastikan subsidi disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan tanpa membebankan isi rumah yang berada di ambang kelayakan. Dengan melaksanakan pembaharuan ini, Malaysia bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan fiskal secara berkesan tetapi juga memperkukuh prinsip keadilan sosial, memastikan keseimbangan antara keperluan rakyat dan keupayaan negara.

Oleh,

Dr Mohd Zaidi Md Zabri ialah Felo Penyelidik Kanan di Jabatan Ekonomi Islam, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, Universiti INCEIF.

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here