SEBAHAGIAN daripada peserta program Go Green Charity Run 2024 anjuran Pekema di Cyberjaya, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Penganjuran program larian Go Green Charity Run 2024 anjuran Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) dengan kerjasama Yayasan Pekema baru-baru ini mendapat sambutan luar biasa termasuk daripada golongan orang kurang upaya (OKU) dan asnaf.

Berlangsung di Cyberjaya, program yang julung kali dianjurkan itu turut dimeriahkan dengan penyertaan pelbagai kumpulan masyarakat termasuk ahli-ahli Pekema, agensi kerajaan, rakan korporat, pihak bank dan wakil insurans.

Penganjuran acara itu bukan sahaja simbolik kepada usaha memupuk gaya hidup sihat tetapi turut menyokong aspirasi Yayasan Pekema untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Hasil sumbangan daripada acara itu disalurkan kepada institusi pendidikan Islam seperti Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum di Hulu Langat dan Institut Quran Kuala Lumpur (IQKL), di samping membantu golongan asnaf.

Sementara itu, Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, penyertaan golongan OKU dan asnaf dalam program itu mencerminkan semangat inklusiviti yang menjadi asas kepada acara tersebut.

PRESIDEN Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin menyerahkan replika cek sumbangan kepada institusi pendidikan Islam sempena program Go Green Charity Run 2024 di Cyberjaya, baru-baru ini.

“Penyertaan mereka adalah inspirasi kepada kita semua untuk terus berusaha membina masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu padu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai sebahagian daripada komitmen Pekema terhadap agenda kerajaan, program itu turut memberi fokus kepada usaha memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Peserta program itu berpeluang untuk mengunjungi CADB Experience Centre, Cyberjaya iaitu pusat pameran khas yang menampilkan Dongfeng BOX, sebuah kenderaan elektrik yang memenuhi keperluan pengguna di negara ini.

Tambah Mohamed Nazari, Pekema yakin acara larian Go Green Charity Run itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar.

“Acara ini merupakan langkah awal untuk menghargai agensi dan organisasi yang telah menjadi rakan strategik Pekema serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam membina masa depan yang lebih hijau dan lestari,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada Dewan Muda Pekema (DMP) yang telah memainkan peranan penting dalam menguruskan dan memastikan kelancaran penganjuran acara tersebut.

“Semangat inovasi dan kepimpinan golongan muda adalah faktor penting dalam membawa Pekema ke tahap kecemerlangan baharu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here