KLUANG- Seorang pekebun kecil rugi RM300,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 52 tahun membuat laporan polis kelmarin mendakwa ditipu.
“Mangsa tertarik dengan pelaburan yang ditawarkan dalam laman sosial dan telah berurusan dengan individu tidak dikenali yang menawarkan pelaburan dengan kadar pulangan lumayan.
“Pada bulan lalu hingga awal bulan ini, mangsa telah membayar RM300,00 ke dalam empat akaun bank berbeza secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, selepas mangsa membuat pembayaran tiada sebarang pulangan yang diperoleh selain sering diberikan pelbagai alasan.
Mangsa ujarnya, sedar dirinya ditipu sebelum tampil membuat laporan polis.
Tambah beliuau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan iklan pelaburan di media sosial dan lakukan semakan serta pengesahan sebelum membuat sebarang pelaburan,” katanya.- MalaysiaGazette