KLUANG – Seorang pelajar maut manakala seorang pengawal keselamatan cedera dalam kemalangan dua motosikal di kilometer 74.1, Lebuhraya Utara – Selatan (arah utara) di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner, Bahrim Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 3.10 pagi.
“Kemalangan melibatkan motosikal Yamaha 15ZR ditunggang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam, Muhammad Nuramirul Iman Mohd Noor Izaharemie, 17, dengan Yamaha Lagenda 115Z(K) ditunggang pengawal keselamatan, Mohd Azmi Abdullah, 38.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa motosikal pelajar itu dalam perjalanan dari arah Simpang Renggam menghala ke Kluang.
“Motosikal pengawal keselamatan itu pula berada di laluan sama dari Johor Bahru ke Kluang.
“Setibanya ditempat kejadian, motosikal pelajar terbabit hilang kawalan hingga terlanggar bahagian belakang motosikal pengawal keselamatan tersebut.
“Motosikal pelajar tersebut kemudian melanggar besi pembahagi jalan di bahu jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat pelanggaran itu pelajar berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat katanya, diserahkan kepada polis sementara pengawal keselamatan itu cedera di bahagian tangan kiri dan kanan serta kepala.
Pengawal keselamatan berkenaan ujarnya, masih menerima rawatan di Zon Hijau Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette