SHAH ALAM – Ketua Cabang Titiwangsa PKR, Zahir Hassan tidak menolak kemungkinan akan bertanding di Cabang Wangsa Maju pada pemilihan parti itu yang akan diadakan tahun hadapan.
Beliau berkata langkah itu bagi memastikan partinya terus dapat diperkukuhkan dan berkhidmat kepada rakyat di Wangsa Maju.
“Formula saya secara peribadi memikirkan bagaimana nak kukuhkan parti sama ada terus tinggal atau bertanding di cabang Titiwangsa atau pindah di Wangsa Maju.
“(Sebelum ini) parti memilih bertanding di Wangsa Maju. Sudah dua tahun lebih di Wangsa Maju, saya fikir sesuai nak pastikan khidmat rakyat dilakukan lebih berlipat kali ganda,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju itu, jika bertanding di cabang Parlimen itu juga menjadikan khidmatnya lebih baik secara langsung kepada anggota parti dan warga Wangsa Maju.
Dalam pada itu, Zahir berkata Kongres Nasional Khas hari ini juga yang meminda perlembagaan juga bagi memperkukuhkan lagi parti.
Beliau berkata PKR sudah lebih 25 tahun telah melalui pelbagai pengalaman.
“Makna nak ubah dan kita nak kukuhkan lagi. Kita nak pastikan representasi 30,000 anggota akan terlibat secara pemilihan parti utama.
“Kongres tempat reformasi kita lakukan. Kena lakukan sesuai perubahan berlaku sekeliling,” katanya.-MalaysiaGazette