KUALA LUMPUR- Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz mengaku pernah mengadakan perbincangan untuk menyertai PKR namun menegaskan masih belum membuat sebarang keputusan muktamad.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menjelaskan, perbincangan tersebut juga masih di peringkat awal dan tidak menyentuh sebarang agenda berhubung jawatan di peringkat negeri mahu pun pilihan raya kecil.
“Walau apa pun, saya tiada pun membuat apa-apa keputusan lagi. Saya berpegang kepada prinsip apabila saya membuat sesuatu keputusan sudah tentu saya akan membuatnya dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti saya.
“Saya merupakan anggota satu pasukan yang sedang dan akan terus melaksanakan dasar-dasar yang terbaik untuk rakyat.
“Saya juga percaya dan yakin khemah besar Kerajaan Perpaduan yang telah dibina selama ini mempunyai semangat kerjasama yang utuh dan toleransi yang tinggi. Kerajaan yang mampu menerima perbezaan pandangan dan pendapat di kalangan parti komponen, tanpa mengganggu gugat objektif utama iaitu mengemudi negara ke arah kesejahteraan yang terbaik buat rakyat,” katanya menerusi hantaran di media sosial, malam ini.
Beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengaku terkejut dengan khabar angin yang tersebar berhubung keahlian politiknya.
Malah lebih mengejutkan katanya, pemimpin-pemimpin UMNO membuat kenyataan mengenai isu tersebut sedangkan beliau tidak pernah dipanggil oleh pucuk pimpinan untuk menjelaskan perkara sebenar.
https://malaysiagazette.com/2024/12/15/terdapat-perbincangan-zafrul-sertai-pkr-anwar/
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan khabar angin yang mengatakan tindakannya untuk keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan UMNO Selangor.
“Saya juga percaya bahawa hak individu untuk memilih landasan perjuangan merupakan hak asasi dan mutlak kerana tanpa keserasian mustahil untuk seseorang individu itu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.
“Saya percaya rakyat Malaysia sudah muak dengan politik remeh dan tidak sihat ini. Ini termasuk serangan belakang tabir tanpa asas, agenda cah keting dan sebagainya, terutama sekali kerana saya yakin apa yang rakyat mahu bukan politik ekstrem, tetapi usaha kita semua untuk membina rakyat dan negara.
“Ramai maklum isu-isu ini semua telah saya ketengahkan sebelum ini dalam konteks UMNO Selangor tetapi malangnya perkara ini masih membelenggu UMNO Selangor,” katanya lagi.
Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi mengesahkan, wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR..
Presiden PKR itu berkata, prinsip parti adalah terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti tetapi ia perlu dilakukan dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti lain termasuk Umno tidak terjejas.- MalaysiaGazette