KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa siasatan kes rasuah terhadap sindiket counter setting di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disegerakan memandangkan kes itu dilaporkan masih lagi berlaku sehingga kini.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, siasatan itu juga perlu dilakukan dengan telus kerana rakyat perlu diyakinkan tiada elemen perlindungan terhadap pelaku jenayah rasuah dalam kes tersebut.
Menurutnya, kewujudan sindiket itu bukan hanya mencemarkan nama baik negara dan menjejaskan integriti sistem imigresen, malah turut mengancam keselamatan negara dengan membenarkan individu asing masuk tanpa kawalan sewajarnya.
Sehubungan itu, tambah beliau, usaha membanteras sindiket itu memerlukan keberanian tinggi pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangkap dan mendakwa `ikan besar’ di sebalik sindiket terbabit.
“Selagi dalang utama tidak ditangkap, sindiket ini akan terus mencari cara baharu untuk beroperasi.
“Kami menyeru SPRM dan Jabatan Imigresen untuk melipatgandakan usaha siasatan sehingga semua individu tidak kira pangkat dibawa ke muka pengadilan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Tambah Jais, hukuman yang lebih berat juga harus dikenakan terhadap pelaku yang bersubahat dengan sindiket itu termasuk melucutkan jawatan mereka dan hukuman penjara yang setimpal.
Katanya, ia penting untuk memberi mesej tegas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan jenayah rasuah.
Jelas beliau, sindiket itu yang beroperasi dalam tempoh lama juga menunjukkan kelemahan dalam sistem dan prosedur operasi Jabatan Imigresen.
Sehubungan itu, katanya, MCW mencadangkan pelaksanaan sistem teknologi yang lebih ketat seperti biometrik dan pengawasan digital yang tidak boleh dimanipulasi.
“Langkah ini termasuk penggunaan real-time monitoring terhadap pegawai bertugas di kaunter,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru lebih banyak penglibatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan masyarakat untuk meningkatkan tekanan kepada pihak berwajib supaya mempercepatkan reformasi di Jabatan Imigresen.
Jelasnya, kerjasama antara SPRM, NGO dan masyarakat merupakan kunci dalam menangani masalah itu secara menyeluruh.
“Sindiket counter setting ini bukan hanya isu teknikal atau operasi, tetapi adalah simbol kepada masalah budaya rasuah yang perlu dihapuskan segera.
“MCW berkomitmen untuk terus mendukung usaha murni SPRM dan mendesak reformasi sistemik di semua agensi penguatkuasaan untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette