JOHOR BAHRU – Mahkamah tidak seharusnya dipengaruhi sebaliknya perlu menjalankan tanggungjawab dengan bebas tanpa takut dan pilih kasih dalam isu Titah Adenddum berkenaan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang akan diputuskan pada 6 Januari ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, mana-mana pihak tidak boleh mencampuri urusan mahkamah termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Begitu juga katanya, apabila perkara tersebut dibangkitkan dalam Parlimen baru-baru ini dan Anwar bertindak tepat apabila memberi penjelasan tidak mencampuri urusan mahkamah.
“Apabila Anwar berkata beliau perlu menghormati institusi kehakiman kerana isu Titah Addendum itu akan diputuskan oleh Mahkamah pada 6 Januari 2025, maka penjelasan itu patut kita terima.
“Saya percaya Anwar faham dan sedar bahawa Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa afidavit-afidavit yang dikrarkan beberapa pihak bagi menyokong permohonan semakan kehakimah oleh Datuk Najib berkenaan Titah Addendum, adalah bersifat dengar cakap ataupun hearsay yang tidak diterima pakai oleh pihak mahkamah.
“Itu keputusan Mahkamah Tinggi bukan keputusan kerajaan Pusat atau keputusan Anwar. Kes itu tidak selesai di situ kerana Datuk Najib telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan akan diputuskan pada 6 Januari 2025, kira kira tiga minggu dari sekarang,” katanya dalam kenyataan.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan Titah Adendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 9 Julai.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, Anwar sebagai Perdana Menteri tidak boleh mendahului institusi mahkamah dan itu merupakan prinsip pengasingan kuasa yang berfungsi di negara ini.
“Jadi bersabarlah kita menunggu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Benarkanlah Parlimen, Eksekutif dan Mahkamah menjalankan kerja-kerja mereka mengikut undang-undang Perlembagaan dengan bebas tanpa takut dan pilih kasih,” ujarnya.- MalaysiaGazette