KUALA LUMPUR – Seramai 200 keluarga yang memerlukan dari Parlimen Papar menerima sumbangan dari Yayasan Petronas sempena sambutan Hari Krismas.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sumbangan Yayasan Petronas itu berupa barangan keperluan harian bagi membantu para penerima membuat persiapan menjelang perayaan Natal nanti.
Menurut Armizan, sumbangan tersebut juga merupakan sebahagian daripada keseluruhan 11,850 buah keluarga dari seluruh Malaysia yang telah disantuni oleh Petronas melalui Program Memacu Kehidupan 2024 ketika sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai, Kaamatan, Deepavali, dan kini perayaan Krismas.
“Untuk makluman, Yayasan Petronas merupakan cabang impak sosial Petronas yang mempunyai tiga fokus utama iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan komuniti dan alam sekitar.
“Pelbagai program dilaksanakan oleh Yayasan Petronas ini sebagai usaha membantu memberikan kesejahteraan, kelestarian dan pembangunan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian sempena Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Krismas, Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan yang diadakan di Gereja St Augustine, Kinarut, Papar semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar, Petros Sabah & Labuan Siti Ayu Abdul Wahab.
Sementara itu, Armizan turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Petronas atas sumbangan yang diberikan sekali gus menyokong dalam menjayakan inisiatif Ihsan Rahmah Madani.
Selain itu, Armizan berkata, PJRM yang diadakan ini adalah bagi membantu masyarakat sekitar mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih murah berbanding harga pasaran, terutamanya mereka yang sedang membuat persiapan untuk menyambut perayaan Hari Natal tidak lama lagi. – MalaysiaGazette